Yayasan Sultan Ibrahim Johor terima 1,200 sumbangan beras daripada JCFA

single-image

JOHOR BAHRU : Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) menerima sumbangan 1,200 kampit beras daripada Persatuan Bola Sepak Cina Negeri Johor (JCFA) bagi membantu golongan memerlukan di negeri ini.

Sumbangan beras seberat 10 kilogram setiap satu itu disampaikan Penasihat JCFA Datuk Ng See Bu dan Pengerusi JCFA Datuk Mark Kuang Chia Chun kepada wakil Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Mejar Cina Datuk David Wong, Selasa lepas.

Menurut satu hantaran menerusi laman Facebook rasmi baginda hari ini, keprihatinan Sultan Ibrahim dalam membantu rakyat dengan mengurniakan sumbangan barangan keperluan makanan menerusi YSIJ di setiap daerah secara berterusan menyebabkan JCFA memilih YSIJ untuk menyampaikan sumbangan kepada rakyat di negeri ini.

Kurniaan barangan keperluan makanan daripada baginda disampaikan kepada rakyat memerlukan tanpa mengira agama dan bangsa sejak April tahun lepas, bagi meringankan beban mereka khususnya yang terjejas pendapatan akibat penularan wabak COVID-19. 

Kuang berkata sumbangan yang disampaikan itu diharap akan menjadi galakan kepada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain untuk menyumbang kepada masyarakat atas dasar tanggungjawab sosial.

— BERNAMA

Leave a Comment

Your email address will not be published.