Vaksin: Kompaun menanti individu potong giliran

single-image

PUTRAJAYA : Individu yang memotong giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, bakal berdepan kompaun dan tindakan undang-undang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata mereka yang tidak bertanggungjawab itu akan didakwa mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Katanya, seksyen tertentu dalam akta berkenaan boleh digunakan terhadap individu berkenaan kerana menghalang atau merencatkan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Dalam akta itu, ada beberapa seksyen yang boleh digunakan untuk mengheret orang (memotong giliran bagi mendapatkan vaksin) sebegini ke muka pengadilan.

“Mereka cuba halang atau bantutkan usaha imunisasi,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), di sini, hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, yang turut hadir pada sidang media itu pula berkata, isu memotong giliran bagi mendapatkan suntikan vaksin bukan berpunca daripada kepincangan proses pendaftaran.

Khairy (kanan) dan Dr Adham ketika sidang media di ibu pejabat Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) hari ini. - Foto BERNAMA
Khairy (kanan) dan Dr Adham ketika sidang media di ibu pejabat Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) hari ini. – Foto BERNAMA

Sebaliknya, beliau berkata, itu berlaku berikutan takrifan mengenai pemberian vaksin untuk fasa pertama kurang diberikan percerahan, sehingga wujud kes terpencil mereka yang tidak diberi keutamaan berada dalam senarai penerima.

“Mereka cuba masuk (mendaftar menerima vaksin bagi fasa pertama) dan dapat, tetapi kes sangat kecil. Kita sudah selesaikan masalah ini serta keluarkan mereka daripada senarai penerima.

“Bagi merungkai isu ini, kita tubuhkan jawatankuasa kecil bagi meneliti senarai penerima mengikut kategori, termasuk contohnya dalam kalangan pegawai farmasi yang mengemuka permohonan untuk diberikan keutamaan mendapatkan vaksin.

“Kita akan pastikan tiada yang ‘potong’ atau ‘lompat’ barisan untuk dapatkan vaksin. Kalau ada bukan petugas barisan hadapan, sila tunggu dan beratur.

“Kalau perlu, kita akan tambahkan kuasa kepada Menteri Kesihatan untuk kompuan mereka yang ‘potong’ barisan,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published.