Usahawan Bumiputera tak boleh bergantung bantuan kerajaan untuk berjaya – Daim

single-image

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin, berkata usahawan Bumiputera tidak lagi boleh bergantung kepada bantuan kerajaan untuk berjaya dalam perniagaan.

Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, usahawan Melayu perlu berfikir di luar kotak jika mereka mahu menjadi sebahagian daripada masa depan ekonomi dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Masyarakat Bumiputera selalu hendak wang mudah dan laluan senang yang membolehkan mereka terima manfaat tanpa perlu bekerja untuk mendapatkannya. Adakah ia buatkan kita gembira dan puas hati?

“Adakah kita berpuas hati dengan taraf hidup masyarakat kita yang umpama telur di hujung tanduk dan bergantung kepada tongkat dan pemberian kerajaan?

“Apakah kita perlu berasa maju jika kita sering bergantung pada bantuan dan pemberian kerajaan untuk terus bertahan. Berapa ramai daripada kita yang menahan diri daripada menerima pemberian dan bantuan itu?

“Usahawan Bumiputera harus mengubah pemikiran, jika tidak kita akan terus kekal dengan cara hidup selama ini,” katanya pada program Bicara Darul Iman di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata, ekonomi Bumiputera perlu bermula daripada pendidikan untuk membantu asas budaya dan nilai murni supaya tidak lagi bergantung pada bantuan.

Daim berkata, kekurangan sistem pendidikan negara menyebabkan masyarakat Bumiputera tidak bersedia untuk menghadapi kaum lain dalam persaingan yang adil, selain tidak bersedia untuk mengejar kejayaan di pentas dunia.

“Sistem pendidikan kita tidak cukup bagus, tidak mampu menyumbang kepada masyarakat untuk bersaing dan berjaya di dunia lebih luas. Dalam keadaan sekarang, sistem pendidikan kita turut bersubahat dalam penindasan masyarakat Bumiputera.

“Saya kata begini kerana kekurangan sistem pendidikan kita yang menyebabkan masyarakat Bumiputera berasa tidak bersedia untuk menghadapi masyarakat Malaysia lain dalam persaingan yang adil sekali gus mengejar kejayaan di pentas dunia,” katanya.

Katanya, kejayaan masyarakat Bumiputera negara ini bertunjangkan pendidikan, tidak hanya pendidikan akademik formal, tetapi juga pendidikan universal seperti integriti, kejujuran, ketekunan dan maruah dalam kehidupan yang mesti diamalkan.

Sumber : Berita Harian

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.