UMNO jangan terburu-buru menghadkan pendiriannya

single-image

Politik Malaysia adalah sangat dinamik. Semenjak tiga PRU lepas, kita menyaksikan Parlimen Malaysia tidak lagi mempunyai parti yang menguasai majoriti dua pertiga kerusi. Ini akan menjadi ‘feature’ yang kekal dan kewujudan dua parti sistem itu adalah realiti.

Ini menyebabkan kesukaran untuk melantik Perdana Menteri (PM). Parti yang terbesar dalam PRU ke 14 tidak menerima pencalonan sebagai Perdana Menteri kerana kesepakatan mereka untuk melantik Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Ini sangat bertentangan dengan amalan demokrasi berperlembagaan. Secara perlembagaan, parti dengan kerusi terbanyak dijemput untuk membentuk Kerajaan dan adalah tugas parti tersebut meyakinkan Yang di-Pertuan Agong bahawa calon PM nya mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi. Bagaimana ia ingin mendapatkan sokongan adalah dengan mendapatkan sokongan sekutu politik mereka atau ‘coalition partners’.

Pasca PRU ke 14, Pengerusi PPBM dengan hanya 13 kerusi dilantik sebagai PM. Ia menjadikan PPBM parti terlemah dalam Pakatan Harapan (PH). Tetapi dengan jawatan PM, ia mempunyai tarikan yang menyebabkan Ahli Parlimen melompat. Dan itulah yang dilakukan oleh Tun Mahathir untuk mengukuhkan partinya.

Ini adalah budaya politik yang sangat tidak sihat dan mesti berakhir. Kita tidak boleh lagi bersetuju menamakan Perdana Menteri dari parti yang tidak mempunyai kekuatan politik sebenar. Ia akan selamanya menjadikan kerajaan tidak stabil dan kucar kacir.

Kerana itu, dalam PRU akan datang, UMNO mesti menawarkan calon Perdana Menterinya jika ia memenangi kerusi terbanyak. Malah jika UMNO tidak memenangi jumlah kerusi terbanyak pun, UMNO mesti bersedia dengan calonnya jika calon tersebut boleh menggembleng sokongan untuk membentuk kerajaan.

UMNO ramai calon berpotensi untuk diketengahkan. UMNO mempunyai YBM Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, YB Khairy Jamaluddin dan beberapa nama lain untuk diketengahkan.

Mereka ini semuanya berpotensi dan adalah ‘prime miniter’s material’. Jadi terpulanglah kepada UMNO dan kepimpinannya untuk menemui kesepakatan bagi menamakan calonnya.

Jadi walaupun ketika ini Tan Sri Muhyiddin Yassin dinamakan sebagai calon PM, UMNO jangan terburu-buru menghadkan pendiriannya. Malah pendirian UMNO harus datang dari muafakat parti berdasarkan kedinamikan politik negara.

Yang pasti UMNO mempunyai calon yang bukan sahaja bersedia menjadi Perdana Menteri tetapi mempunyai wibawa, pengaruh, pengalaman dan pesona yang dapat diterima oleh semua rakyat Malaysia.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.