Tun Mahathir malu peminjam PTPTN tak amanah

single-image

Perdana menteri hari ini menegur sikap sesetengah peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang culas membayar semula hutang pengajian mereka.

Bercakap di Kuala Lumpur hari ini Dr Mahathir berkata beliau sendiri berasa malu dengan sikap peminjam terbabit kerana selepas memperoleh pendapatan sendiri, mereka tidak berasa perlu membayar hutang berkenaan.

“Saya berasa malu, tapi mereka tidak!” katanya semasa menyampaikan syarahan di depan penuntut dan kakitangan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini.

PTPTN ialah sebuah badan yang ditubuhkan dengan tujuan utama untuk menguruskan pembiayaan dan pinjaman kepada penuntut institusi pengajian tinggi di negara ini.

Ia ditubuhkan pada 1 Jul 1997 dan beroperasi kira-kira tiga bulan kemudian.

Bagaimanapun isu PTPTN menjadi perhatian kerana sesetengah peminjam gagal menjelaskan hutang masing-masing kerana masih menganggur atau belum mendapat pekerjaan yang stabil.

Pada masa sama ada juga peminjam yang masih enggan menjelaskan bayaran sepatutnya walaupun selepas mendapat pekerjaan yang baik.

Mereka tak amanah

Kata Dr Mahathir kegagalan peminjam menjelaskan hutang masing-masing menyebabkan PTPTN menanggung beban sebanyak RM36 bilion.

Menurut beliau PTPTN ditubuhkan bagi membantu penuntut yang tidak ada kemampuan dari segi kewangan supaya mereka boleh belajar lebih tinggi.

“Justeru mereka pergi belajar di universiti dengan biasiswa atau pinjaman diberikan.

“Malangnya apabila kembali (menamatkan pengajian), mereka tidak mahu membayar semula hutang. Kita sudah ada hutang terkumpul sebanyak RM36 bilion,” katanya.

Menurut perdana menteri sikap sebegitu menunjukkan seseorang itu tidak boleh dipercayai dan hanya akan memberikan persepsi negatif kepada orang lain.

“Dan apabila ini terjadi, ia tidak terhad kepada orang tertentu atau bangsa tertentu.

“Jadi ia bukan hanya mengenai anda tetapi orang lain pun terjejas kerana anda (bersikap) tidak boleh dipercayai,” katanya.

Menurut beliau, kalau seseorang itu memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan sepatutnya tidak ada banyak masalah untuk mereka memperuntukkan RM100 bagi menjelaskan hutang PTPTN.

“Tapi mereka masih tak mahu bayar, mengapa? Sebab mereka tak amanah, mereka tak boleh dipercayai,” katanya.

Sumber : Malaysiakini

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.