Tun Mahathir jangan sombong dan angkuh menghina rakyat

single-image

Baru-baru ini, Tun Mahathir dalam satu sidang media ada mengatakan bahawa rakyat pada hari ini tidak suka akan kerajaan Pakatan Harapan kerana tidak meneruskan amalan pentadbiran terdahulu yang memberi ‘duit percuma’ kepada rakyat.

Kenyataan tersebut seolah-olah menunjukkan selama ini rakyat hidup pengemis meminta-minta duit daripada kerajaan. Sedangkan apa yang diterima selama ini adalah hak mereka. Jadi semua itu pulangan yang kerajaan berikan kepada rakyat. Sudah tentu tidak salah untuk rakyat menuntut hak mereka yang memang sepatutnya diterima jika kerajaan enggan serahkannya.

Malah bagi saya rakyat hari ini tidak salah sekiranya ingin meminta-minta daripada kerajaan Pakatan Harapan. Ini kerana semasa pilihanraya yang lalu kerajaan Pakatan Harapan sendiri yang berjanji untuk mengurangkan kos sara hidup, mengurangkan harga barang, ingin menaikkan gaji minimum dan pelbagai lagi.

Tetapi selepas berjaya menjadi kerajaan pada hari ini semua yang dijanjikan langsung tidak kelihatan. Apabila semua ini terjadi kerajaan Pakatan Harapan sepatutnya tidak boleh salah rakyat kerana mengharapkan ‘duit percuma’ daripada mereka. 

Bagi saya mudah sahaja, jika kerajaan Pakatan Harapan menunaikan janji mereka, tiada langsung istilah rakyat tidak suka kepada kerajaan. Apabila janji yang dibuat tidak ditunaikan wajar sahaja rakyat mengungkit hak yang sepatutnya mereka terima. 

Jadi usahlah mengunakan alasan rakyat tidak suka kerajaan Pakatan Harapan kerana tidak memberi ‘duit percuma’ untuk menutup kelemahan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan sendiri. 

Malah sama sekali kerajaan Pakatan Harapan tiada hak untuk menghina rakyat kononnya rakyat terlalu terhegeh-hegeh dengan ‘duit percuma’ daripada kerajaan. Sedangkan hakikat yang sebenarnya, pelaksanaan dasar gaji minimum di negara ini masih tidak berubah. Gaji yang diterima rakyat masih belum berada pada tahap yang memuaskan.

Bayangkan gaji rakyat masih pada kadar yang sama, tetapi harga barang saban tahun semakin   meningkat dengan jurang yang lebih besar. Di tambah lagi, dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu sudah tentu memberi tekanan kepada rakyat berpendapatan rendah. Keadaan ini  yang menyebabkan mereka untuk terus bergantung pada bantuan daripada kerajaan.

Jadi persoalannya, semua yang berlaku ini masih salah rakyat?

Sekurang-kurangnya kerajaan Pakatan Harapan perlu selami dan memahami kepayahan serta kesusahan rakyat yang berpendapatan rendah yang perlu berhadapan dengan ekonomi yang semakin mencabar. Jika bukan kerajaan yang menolong golongan seperti ini, siapa lagi yang perlu rakyat harapkan?

Mungkin mereka yang sudah ada kehidupan stabil dan mempunyai pendapatan lumayan menyokong kenyataan Tun Mahathir ini. Tetapi kita perlu ingat apabila sudah berada di atas kadang-kadang perlu diintai juga mereka yang di bawah. Ini kerana semua orang tidak dilahirkan dalam keluarga yang mewah, masih ada lagi rakyat yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. 

Jadi ada sebabnya kenapa golongan seperti ini masih mengharapkan ‘duit percuma’ daripada kerajaan. Tidak perlulah kita bongkak dan sombong menghina rakyat yang mengharapkan bantuan daripada kerajaan untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Persoalan terakhir, adakah anak-anak Tun Mahathir akan menjadi kaya dan berjaya seperti sekarang jika Tun Mahathir tidak menjadi Perdana Menteri suatu ketika dahulu?

Sekian.

Dhia Hani merupakan Ahli Persatuan Pemikir Muda Johor. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorPress

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.