Tun M serba salah, bukan beliau cadang Mukhriz jadi TPM2

single-image

KUALA LUMPUR : Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui terbit rasa serba salah dalam dirinya apabila nama anaknya dicadangkan menjadi Timbalan Perdana Menteri 2.

Bekas perdana menteri itu mendedahkan cadangan tersebut bukan daripada dirinya sendiri, sebaliknya nama Datuk Seri Mukhriz sudah disebut sebelum beliau mengeluarkan kenyataannya kelmarin.

Dr Mahathir dalam kenyataannya mengesahkan sokongan terhadap Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri I dan Mukhriz Timbalan Perdana Menteri II.

Pengesahan tersebut dibuat selepas satu pertemuan tidak rasmi dibuat bersama Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada 22 Jun yang lalu.

“Cadangan ini tidak datang dari saya. Dalam kenyataan bersama Mohamad bin Sabu, Ketua Parti Amanah dan Lim Guan Eng, DAP pada 22 Jun, pelantikan Mukhriz sebagai TPM II sudahpun disebut.

“Saya berada dalam keadaan serba salah. Di waktu saya jadi Perdana Menteri kali pertama saya telah larang anak saya dari bergiat dalam politik, khusus sebagai ahli parti Kerajaan. Saya tidak hendak dituduh mengamal nepotisme, memberi keistimewaan kepada keluarga saya,” katanya menerusi kenyataan.

Dr Mahathir juga berkata, beliau tidak pernah menghalang anak-anaknya bergiat aktif dalam politik dan membiarkan semua anaknya bergantung kepada diri sendiri.

Namun beliau dalam masa yang sama tidak mempunyai hak untuk menentang cadangan agar Mukhriz dilantik sebagai TPM II.

“Tetapi apabila saya tidak lagi menjadi Perdana Menteri, tanggungjawab menjaga nama saya, tidak sepatutnya dipikul berterusan oleh anak saya. Mereka dibebas untuk berpolitik. Jaya atau tidaknya politik mereka bergantung kepada diri mereka.

“Apabila nama Mukhriz dicadang untuk jawatan-jawatan tertentu, saya tidak ada hak untuk menentang kerana kepentingan diri saya,” tambah Ahli Parlimen Langkawi itu.

Menyedari cadangan ini dikritik hebat, bekas Perdana Menteri ketujuh itu walaubagaimanapun tidak memaksa sesiapa untuk percaya kepada penjelasannya hari ini.

“Sama ada penjelasan saya ini dipercayai atau tidak, terpulanglah kepada masing-masing. Sudah tentu orang yang bermusuh dengan saya, akan bercakap sinis. Ini saya terima kerana memang pun ia adalah naluri manusia,” ujarnya lagi.

Sehingga kini Mukhriz masih belum memberikan respon berkaitan pencalonan dirinya.

Sumber : MalaysiaGazette

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.