Trauma, derita kanak-kanak mangsa pencemaran

single-image

PASIR GUDANG : Irfan Wafiy Idham Wazir, 12, perlahan-lahan dan penuh hati-hati meniti anak tangga di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Dahlia di sini pukul 7 pagi tadi sambil diiringi ibunya, Norlela Abu Hashim, 45, yang setia menemaninya.

Sekali-sekala langkahnya terhenti kerana kepenatan namun murid darjah enam yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) itu tetap bersemangat dan cekal walaupun terpaksa pergi ke kelasnya setiap hari di tingkat tiga.

Melangkah perlahan-lahan sambil sebelah tangan tidak lekang memaut pemegang tangga lalu terhenti walaupun hanya beberapa anak tangga untuk sampai ke kelasnya, Norlela seakan mengerti penderitaan ditanggung anaknya itu lalu menyapa, “Irfan ok ke?”

Anak keempat daripada lima beradik itu menoleh ke arah ibunya sambil tersenyum dan berkata, “Boleh ibu, sikit lagi ni.”


IRFAN Wafiy Idham Wazir (kiri) yang merupakan mangsa pencemaran Sungai Kim KIm sedang belajar bersama-sama rakan dalam kelasnya SK Taman Dahlia, Pasir Gudang, Johor, pagi tadi.

Begitulah rutin harian Irfan Wafiy pergi dan balik ke sekolah setiap hari akan dibantu ibunya yang membawakan begnya untuk ke tingkat tiga.

Irfan Wafiy merupakan mangsa pencemaran Sungai Kim Kim yang paling lama duduk di wad Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru iaitu kira-kira 10 hari dan insiden itu seakan meragut kehidupan normalnya dan masa depannya.

Sejak menjadi mangsa pencemaran tersebut, kehidupan kanak-kanak itu yang dahulunya periang kini bertukar suram kerana kesannya Irfan Wafiy tidak boleh berjalan dengan betul sebaliknya terpaksa melangkah perlahan-lahan dan kadang-kadang terpaksa menyeret kakinya.

Menurut Norlela, apabila berjalan terlalu lama, kedua-dua belah kakinya akan cepat letih, lenguh, sakit dan menggigil terutama kaki kiri serta tidak boleh lagi berlari, hanya berjalan mengensot-ngensot.

“Irfan Wafiy yang menjadi mangsa pencemaran Sungai Kim Kim menghidapi penyakit Myo Kimia yang disahkan pihak hospital puncanya daripada pencemaran Sungai Kim Kim, kini dirawat lapan doktor pakar. Irfan Wafiy adalah rakyat Malaysia pertama disahkan menghidap penyakit ini.

“Pergerakannya amat terbatas, contohnya di rumah akan menggunakan kerusi roda, solat juga dalam keadaan duduk dan apabila berdiri terketar-ketar dan tidak stabil,” katanya ketika ditemui di SK Taman Dahlia di sini sebentar tadi.

Norlela berkata, disebabkan keadaan itu, Irfan Wafiy tidak ke Sekolah Agama Taman Mawar sejak beberapa bulan lalu dan kini menumpukan pelajaran di SK Taman Dahlia apatah lagi menjadi seorang daripada 25 calon cemerlang UPSR pada tahun ini.

Apabila gelombang kedua pencemaran berlaku dan murid lain sudah menampakkan simptomnya, dia berkata, guru kelas Irfan Wafiy akan segera membawanya ke bilik guru di tingkat bawah dan menelefonnya supaya segera membawanya pulang.

“Irfan Wafiy juga trauma setiap kali melalui kawasan tertentu di sekolahnya terutama tempat dia pernah pengsan semasa pencemaran Sungai Kim Kim sebelum ini, kejadian itu seakan menghantui dirinya,” ujarnya.

Suri rumah itu berkata, Irfan Wafiy sebelum ini dirawat secara berkala dan mempunyai jadual susulan rawatan di HSI dan Hospital Kuala Lumpur.

Dia terkilan kerana tiada keadilan dan pembelaan terhadap Irfan Wafiy yang dibiarkan begitu sahaja selepas lebih tiga bulan sedangkan anaknya itu tidak berdosa dan akan menghadapi masa depan yang tidak menentu, termasuk kemungkinan untuk pulih seperti biasa.

Keluarganya kata Norlela, kini sedang mengumpulkan dokumen-dokumen terutama laporan perubatan untuk menyaman kilang terbabit, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan pengairan dan Saliran (JAS) dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

Sumber : Utusan Online

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.