Tiada parti ketepikan golongan muda

single-image

JOHOR BAHRU : Semua parti di negara ini tidak pernah mengetepikan golongan belia, malah sentiasa mengiktiraf peranan mereka sebagai pemimpin pewaris yang bakal mencorak hala tuju masa depan negara.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad menegaskan, beliau dan barisan kepimpinan UMNO Johor misalnya tidak menghadapi sebarang masalah untuk bekerjasama dan mendengar pandangan daripada golongan muda.

“Semua parti sentiasa memberi ruang dan tidak meminggirkan sama ada orang muda, wanita mahupun veteran dalam perjuangan mereka,” katanya ketika diminta mengulas hasrat bekas Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang merancang untuk menubuhkan sebuah parti berasaskan golongan muda selepas tidak lagi menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan Majlis Memeterai Perjanjian bagi Pembangunan Hartanah Iskandar Malaysia antara Iskandar Waterfront Holdings dan MCC Singapura di Hotel Doubletree, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan, Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, YB Tuan Mohd. Izhar Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, YB Tuan Haji Mazlan Bujang.

YAB Menteri Besar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor berkata, pihaknya menghormati kebebasan semua pihak untuk menubuhkan parti.

“BN tidak pernah menghadapi sebarang masalah untuk bekerjasama dengan orang muda. Begitu juga parti komponen lain. Malah, Ketua Pemuda daripada MCA merupakan seorang wanita.

“Justeru, saya berpendapat tiada permasalahan yang timbul sekiranya kita bekerjasama dengan orang muda,” katanya.

Sumber : Makmur Johor

Leave a Comment

Your email address will not be published.