Tiada bangsa Johor, hanya bangsa Malaysia, kata Hassan Karim

single-image

PETALING JAYA: Seorang pemimpin PKR Johor mempersoalkan penggunaan istilah “Bangsa Johor” dengan berkata ia bertentangan dengan perpaduan nasional

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata, hanya ada 1 “bangsa” dalam negara ini, iaitu “Bangsa Malaysia”dan seterusnya mengingatkan bahawa Johor adalah salah satu negeri dalam persekutuan Malaysia.

Istilah tersebut dikatakan diperkenalkan pada 1920-an, semasa pemerintahan Sultan Ibrahim Sultan Abu Bakar, yang dianggap sebagai pemerintah awal “Johor moden”.

Ia terus digunakan sehingga kini dalam kalangan sesetengah anggota keluarga diraja Johor.

Hassan, yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Khas Parlimen Hubungan Persekutuan dan Negeri, menyebut tentang frasa “Bangsa Johor” dalam satu persidangan mengenai federalisme di Universiti Sains Islam Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan.

“Saya ditanya tentang pandangan saya, dan saya beritahu rakyat Malaysia tidak harus ditakrifkan mengikut negeri asal mereka, tetapi sebagai warga sebuah negara yang bersatu,” katanya kepada FMT.

Katanya, konsep tersebut tidak mewakili idea sebuah negara.

“Ini merupakan pendirian saya sejak dahulu lagi, iaitu dari sudut pandang sosiologi dan politik konsep “Bangsa Johor” tidak betul.”

Katanya, perpaduan nasional tidak akan wujud sekiranya negeri menerima pakai pemikiran “Bangsa Johor”, “Bangsa Sabah” atau “Bangsa Kelantan”.

“Konsep sedemikian menggambarkan sentimen parokial serta sempit dan tidak baik untuk perpaduan.”

Hassan bagaimanapun berkata, beliau tetap berbangga sebagai “anak Johor” walaupun menolak idea “Bangsa Johor”.

Katanya, lebih penekanan harus diberikan kepada konsep “Bangsa Malaysia”.

“Anda boleh berbanggsa dengan keturunan sendiri, sama ada Melayu atau Cina dan India, tetapi semua rakyat Malaysia harus melihat diri mereka sebagai bangsa Malaysia terlebih dahulu.”

Sumber : freemalaysiatoday.com

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.