Teruskan rayuan kes kalimah Allah

single-image

Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mahu kerajaan Persekutuan supaya meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan lain dalam penerbitan penganut agama Kristian bagi tujuan pendidikan.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda selaku Ketua Agama Islam di Johor akan mengarahkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengambil apa-apa tindakan yang perlu dan wajar bagi menyokong usaha rayuan berkenaan.

Titah baginda, kalimah “Allah” adalah nama yang khusus kepada Tuhan yang disembah oleh umat Islam.

“Nama ‘Allah’ ini diberi oleh diri-Nya, bukan berasal daripada mana-mana akar kata, tetapi kata nama khas yang merujuk kepada Allah, Tuhan

Yang Maha Esa, Tuhan yang disembah oleh umat Islam.

“Apabila timbul kembali isu penggunaan kalimah Allah untuk digunakan pada tuhan yang lain daripada maksud yang sebenar, saya merasa amat dukacita kerana perkara ini boleh menimbulkan perbalahan dan persepsi yang kurang elok terhadap keharmonian Bangsa Johor yang hidup bermuafakat di dalam satu negeri.

“Adalah perlu sensitiviti umat Islam dan kesepakatan hidup berbilang kaum dan agama ini diambil kira dalam apa jua keputusan atau penghakiman kerana isu-isu sensitif ini sangat dekat di hati saya selaku Ketua Agama Islam di Negeri Johor khususnya apabila isu berkenaan berkait rapat di dalam ruang sempadan agama Islam.

“Fatwa Negeri Johor yangdiwartakan oleh Kerajaan Johor pada 4 Jun 2009 secara jelas menyatakan bahawa ‘Penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah tidak diharuskan, tidak dibenarkan, serta ditegah dan dilarang.”

“Fatwa ini bermaksud penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam yang tidak bertepatan dengan maksud yang sebenarnya sebagaimana ajaran agam Islam adalah sama sekali tidak boleh dan tidak dibenarkan.

“Di Johor, kita juga mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam 1991 yang melarang penggunaan kalimah-kalimah yang dikhususkan secara eksklusif untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam kecuali dalam keadaan-keadaan yang dibenarkan oleh perundangan,” titah Sultan Johor dalam kenyataan, hari ini.

Pada 15 Mac lalu, kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan lain dalam penerbitan penganut agama Kristian bagi tujuan pendidikan.

Perkara itu disahkan Peguam Cara Negara, Datuk Abdul Razak Musa ketika dihubungi media.

Berdasarkan salinan notis rayuan yang diperoleh media, notis berkenaan difailkan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Pada 10 Mac lalu, Hakim Datuk Nor Bee Ariffin, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan tiga pengisytiharan deklarasi oleh wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill.

Mahkamah turut memutuskan selain kalimah Allah, tiga lagi perkataan yang dibenarkan dalam penerbitan bahan agama Kristian ialah Kaabah, Baitullah dan solat.

Nor Bee dalam penghakimannya, berkata, penerbitan buku agama atau bahan keagamaan Kristian yang menggunakan empat perkataan itu bagaimanapun hendaklah disertakan dengan penafian (disclaimer) dan lambang salib pada kulit buku.

Pada 2008, Jill Ireland memfailkan semakan kehakiman untuk menuntut semula lapan cakera padat mengandungi kalimah Allah dan relif hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dilanggar dengan menyekat atau melarang pengimportan bahan pendidikan.

Pada 2014, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill dan memerintahkan supaya kesemua lapan cakera padat itu dipulangkan namun tidak membuat sebarang penghakiman mengenai relif-relif lain yang dimohon.

Keputusan kes itu mengambil masa selama 13 tahun dua bulan, sejak difailkan pada 2008.

Sumber : Harian Metro

Leave a Comment

Your email address will not be published.