TEKSICoop Johor Bantu Pulih Pendapatan Teksi

single-image

Akhir Januari tahun ini Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Bin Nordin telah melancarkan satu aplikasi e-hailing yang dikenali sebagai TEKSICoop. Aplikasi tersebut merupakan inisiatif yang dibangunkan dengan sokongan dan komitmen Kerajaan Negeri Johor.

Mirip dengan aplikasi digital bagi pengangkutan awam yang lain seperti Grab dan Uber, TEKSICoop menawarkan perkhidmatan pesanan teksi melalui telefon bimbit.

Inisiatif ini diperkenalkan atas beberapa sebab. Antaranya adalah rungutan para pengusaha dan pemandu teksi yang terjejas pendapatan mereka akibat kemunculan Grab dan Uber di seluruh negara. Daripada bersikap negatif dan menolak sahaja rungutan tersebut, Kerajaan Negeri memilih untuk mendengar dan memahami dengan lebih mendalam rintihan serta keluhan berasas para pemandu teksi.

Kita tidak menafikan yang kehadiran aplikasi Grab dan Uber telah memberi kesan yang besar kepada pemandu dan pengusaha teksi. Pendapatan mereka terjejas. Pada masa yang sama kita juga tidak boleh menyalahkan pengguna kerana enggan menggunakan teksi lagi dan memilih perkara yang terbaik dan menguntungkan mereka.

Senario ini menggambarkan kepada kita bahawa kemaraan arus digital dan revolusi 4.0 memberi kesan kepada semua. Dan teksi tidak terlepas daripada menerima tempiasnya.

Justeru, pengenalan aplikasi e-hailing TEKSICoop ini merupakan satu langkah yang sangat bertepatan, inovatif dan amat memenuhi keperluan mereka yang terjejas. Lebih penting, ia selari dengan industri pengangkutan yang semakin hari semakin berkembang maju.

Aplikasi TEKSICoop ini membawa beberapa kelebihan bukan sahaja kepada para pemandu teksi di Johor, tetapi juga kepada para pengguna.

Pertama, aplikasi TEKSICoop mampu menawarkan perkhidmatan yang lebih baik dan cekap kepada pengguna. Secara tidak langsung ia memudahkan pengguna membuat pemesanan terhadap perkhidmatan teksi dengan lebih mudah dan efisien di Johor. Ini kerana aplikasi ini sangat mudah digunakan dan bersifat mesra pengguna.

Kedua, alternatif ini merupakan platform terbaik untuk berhadapan dengan perkhidmatan alternatif dari Uber dan Grab. Ia memberi kesaksamaan persaingan dalam kalangan pemandu teksi di Johor. Sekali gus dapat membantu memulihkan kembali pendapatan yang terjejas sebelum ini.

Ketiga, aplikasi ini dapat membantu mengurangkan kos pengeluaran pemandu teksi. Dengan adanya aplikasi ini pemandu teksi tidak perlu bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain untuk mencari penumpang. Sebaliknya, sama seperti Grab dan Uber, para pemandu teksi di Johor kini boleh merancang pergerakan mereka mengikut permintaan dan pesanan penumpang dengan lebih berkesan.

Dalam erti kata lain, aplikasi ini bukan sahaja dapat mengurangkan kos. Malah membantu untuk mendapat penumpang dengan cara yang lebih mudah serta menjimatkan masa pemandu teksi.

Keempat, penyediaan alternatif ini dapat melahirkan pemandu teksi yang celik IT dan peka terhadap permintaan mengikut trend semasa. Sudah sampai masanya untuk semua pemandu teksi, tidak kira peringkat umur untuk mula mengguna dan memanfaatkan teknologi.

Dari sudut yang lain, pengenalan aplikasi TEKSCoop ini menyenangkan kita dari beberapa perspektif. Ia melegakan semua, kerana dalam kemelut dan isu yang dihadapi oleh para pemandu teksi, pengendali Grab dan Uber serta para pengguna, Kerajaan Negeri bersikap prihatin dan segera tampil memberikan solusi yang inovatif, praktikal dan adil kepada semua pihak.

Lebih penting, ia secara tidak langsung menggambarkan kepada kita bahawa pentadbiran Menteri Besar Johor, Dato Mohamed Khaled Nordin, serius dalam menggarap teknologi dan aplikasi digital dalam kehidupan masyarakat Johor.

Semoga usaha dan pemikiran yang inovatif serta progresif seperti ini akan dapat dilihat dalam lebih banyak lagi isu yang membelenggu masyarakat kita.

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.