Teks Penuh Ucapan Perbahasan UMNO Bahagian Tenggara dalam Konvensyen UMNO Johor 2019

single-image

Oleh :
YB Hahasrin Hashim, Naib Ketua UMNO Bahagian Tenggara merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Panti

Bismillahirrahmannirrahim.

Assalamualaikum WBT.

Yang Berhormat Datuk Ir. Hasni Bin Mohammad, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Adham Bin Baba, Ketua UMNO Bahagian Tenggara.

Tuan-Tuan, Puan-Puan dan para perwakilan sekalian.

Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, saya Hahasrin Hashim diberi peluang bersama dalam perbahasan pada hari ini bagi mewakili UMNO Bahagian Tenggara.

  1. Apa yang berlaku pasca Pilihan Raya Umum ke-14 memberi banyak pengajaran dan peluang baru untuk kita sama ada dalam UMNO mahu pun dalam Barisan Nasional memperbaiki diri secara besar-besaran.
  2. UMNO dulu ibarat kapal besar yang mengambil banyak usaha dan masa jika mahu melakukan perubahan, walaupun kini masih lagi parti orang Melayu terbesar. Namun, apa yang berlaku dan dalam situasi adanya pemimpin UMNO peringkat tertinggi mahu pun bawahan meninggalkan parti dan melompat. Ini memungkinkan perubahan dilakukan secara drastik dan segera.
  3. Hari ini, UMNO semakin matang dan sememangnya masa yang kita ambil untuk matang sebagai pembangkang tidak boleh lambat kerana usia kita, saya percaya di kedudukan ini bukanlah lama. Insya-Allah, kurang 5 tahun kita pasti akan kembali menjadi kerajaan dan meneruskan agenda baik dengan lebih sempurna untuk agama, bangsa dan negara.
  4. Terakam jelas dalam catatan negara, parti inilah yang telah menukar perpecahan kepada perpaduan; daripada pemikiran terjajah kepada pemikiran merdeka; daripada tidak percaya terhadap kebolehan masing-masing kepada keyakinan mandiri yang membanggakan; daripada berputus asa kepada penuh harapan.
  5. Hari ini juga kita merintis dan berjaya dalam agenda “Penyatuan Ummah”. Kita juga membina satu naratif baru dalam politik Malaysia, naratif yang kita namakan “Muafakat Nasional” disertai oleh Barisan Nasional, PAS dan Gagasan Sejahtera serta NGO. Perkara ini menunjukkan kesempurnaan dalam mewakili semua golongan dan kaum di Malaysia.
  6. Seterusnya, adalah menjadi persoalan bagaimana Muafakat Nasional ini perlu kita laksanakan. Oleh yang demikian, pada hari ini UMNO Tenggara ingin menggariskan TIGA (3) CABARAN yang perlu diberi perhatian serius oleh kita agar UMNO dan seterusnya Muafakat Nasional ini berjaya dan relevan pada hari ini dan hari mendatang.

Tuan-Tuan, Puan-Puan dan para perwakilan sekalian.

CABARAN PERTAMA : Menjayakan Muafakat Nasional dengan cara kita, cara Johor

  1. Johor sejak dahulu berpegang kepada prinsip pemuafakatan. Slogan “Muafakat Itu Berkat” dan “Muafakat Johor” telah diangkat oleh pemimpin nasional sebagai satu gagasan baru. Ianya suatu isyarat yang jelas bahawa Johor sentiasa di hadapan dalam wacana politik dan sentiasa menjadi contoh dalam konteks politik sosial.
  2. Muafakat Nasional ini satu perkara yang kita boleh banggakan, namun perlu sentiasa diperkemaskan mengikut acuan kita di Johor. Beberapa isu kecil perlu diatasi segera kerana kadang-kadang boleh menjadi besar jika dibiarkan. Perkara ini juga telah dinyatakan oleh YB Pengerusi Perhubungan Negeri pagi tadi.
  3. “Johor Tetap Jadi Johor”, idealisme “Muafakat Johor” dalam gagasan “Muafakat Nasional” haruslah terus diperkasa. Idealisme ini merangkumi semangat tolak-ansur semua kaum di Johor yang selama ini berpegang kepada prinsip iaitu “Bangsa Johor”.
  4. Politik pemuafakatan atau politik konsosiasional ini bukanlah suatu idea politik baru. Bahkan ianya telah dikembangkan oleh seorang filusuf Belanda bernama Arend Lijphart dan mentakrifkan empat ciri politik konsosiasional iaitu:-

a. Terdapat satu gabungan besar dalam kalangan semua kumpulan atau etnik;
b. Kebersamaan falam membuat keputusan;
c. Keseimbangan kadar agihan dan peluang; dan
d. Autonomi yang seimbang.

  1. Dengan ciri-ciri ini sebagai asas, politik konsosiasional yang kita dokong melalui “Muafakat Nasional” akan kukuh dan memberi manfaat kepada semua.
  2. Dalam pemuafakatan di Johor ini, kita perlu ketengahkan kepimpinan yang boleh membayangi kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan hari ini. Siapa yang rakyat akan lihat sebagai pasukan alternatif kepada kepimpinan kerajaan sekarang. Pilihlah pemimpin yang beretika. Pilihlah pemimpin yang terbukti kewibawaannya. Pilihlah mereka yang memiliki kemampuan untuk memimpin dengan cemerlang. Dan paling penting, pilihlah pemimpin yang benar-benar mengerti nilai-nilai perjuangan UMNO dan bangsa.
  3. Kelestarian Muafakat Nasional di Johor ini juga haruslah didasari dengan kerjasama, kesefahaman dan tolak-ansur antara ahli gabungan. Nasionalisme Melayu-Islam yang wujud; yang mana UMNO dengan dasar dan perjuangannya; PAS dengan prinsip serta keyakinan mereka. Begitu juga, parti dan NGO lain yang masing-masing ada agenda serta ruang lingkup perjuangan sejak ditubuhkan perlu kekal dan dihormati.

Tuan-Tuan, Puan-Puan dan para perwakilan sekalian.

CABARAN KEDUA : Menyantuni dan pembelaan rakyat yang berterusan walaupun bukan sebagai kerajaan

  1. UMNO bukan sekadar pergerakan politik, sebaliknya UMNO semenjak penubuhannya adalah gerakan pembaharuan untuk bangsa. Dan ianya mesti terus diperkukuhkan menjadi gerakan pembaharuan, usaha dan amal bakti demi kemajuan orang Melayu. Hanya melalui usaha kemajuan akan tercapai. Hanya melalui kemajuan, Melayu menjadi kuat. Insya-Allah.
  2. UMNO perlu teruskan dengan apa yang kita lakukan semasa menjadi kerajaan, sentiasa mengambil tahu akan hal masyarakat, sentiasa bersama masyarakat khususnya di akar umbi di seluruh negeri Johor.
  3. Bentangkan bajet Muafakat Nasional apabila tiba masanya. Bentangkan hala tuju ekonomi kita; bentangkan hala tuju pendidikan kita; dan bentangkan dasar-dasar yang kita yakini terbaik dan akan kita laksanakan jika kita adalah kerajaan. Tunjukkan kepada rakyat yang walaupun dalam kedudukan sebagai pembangkang. Kita masih berfikir dan bertindak mahukan rakyat terbela dan mahukan negeri serta negara pada kedudukan yang lebih baik hari demi hari.
  4. Agenda “Melayu Maju” yang pernah UMNO Johor ungkapkan sebelum ini juga perlu dijayakan sebaiknya. Walaupun sebagai pembangkang, kita pasti akan mendepani pelbagai rintangan. Namun, dengan ruang serta kemampuan yang ada, yakinilah bahawa sekurang-kurangnya usaha itu akan ada hasilnya.
  5. Orang Melayu tidak ada pilihan lain selain kita dalam UMNO. UMNO, tempat mereka berharap agar kebajikan mereka dapat dibantu dan dijaga. Hal ini kerana parti yang kononnya mewakili orang Melayu dalam kerajaan Pakatan Harapan lebih bersifat kosmetik. Nampak gah dengan jawatan Perdana Menteri, namun isu mudah pun tidak dapat mereka bela dan pertahankan.

Tuan-Tuan, Puan-Puan dan para perwakilan sekalian.

CABARAN KETIGA : Persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15

  1. Sesungguhnya, PRU-15 amat besar cabarannya. Jentera bersama dalam gabungan “Muafakat Nasional” perlu kita selaraskan, bukan sahaja di peringkat kepimpinan tertinggi, malah sehingga ke akar umbi.
  2. Bagi mendepani PRU-15 yang lebih realistik, pengundi yang lebih besar. Tiba masanya mengikut kesesuaian tempat untuk kita ketengahkan lebih awal pemimpin yang akan mewakili Muafakat Nasional dalam pilihan raya akan datang. Perbanyakkan orang muda, golongan profesional, orang yang lebih berwibawa tanpa bebanan persepsi negatif masyarakat.
  3. Strategi untuk menarik pengundi pelbagai bangsa bersama Muafakat Nasional perlu dilakukan. Memastikan tiada ragu dan syak wasangka parti komponen lain dan seterusnya bangsa lain kepada kita, orang Melayu.
  4. Kepada parti MCA dan MIC serta NGO, sampaikan pada semua bahawa UMNO tidak pernah mengkhianati persetujuan yang telah dimeterai dan percayalah orang-orang Melayu tidak pernah menolak kewujudan kaum lain sekali pun mereka berbeza kepercayaan, ras dan budaya. Formula kongsi kuasa yang telah dibina adalah keunikan dalam kesejahteraan dan kejayaan Malaysia pada hari ini. Orang-orang Melayu memperakui sumbangan kaum lain dan peranan yang dimainkan bagi bersama-sama membangunkan negara ini. Kelangsungan berkongsi kuasa ini bukan sahaja perlu diteruskan, malah lebih daripada itu diperluaskan bentuknya dari semasa ke semasa.
  5. Marilah kita bersama dalam pemuafakatan ini, Muafakat Nasional untuk kita mulakan dan buktikan dengan Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai bulan hadapan. Satu medan ujian bukan sahaja untuk kita di Johor, malah untuk takrifan masa depan Muafakat Nasional itu sendiri. Kami dari UMNO Tenggara, sedia memberikan komitmen kami dan akan memberikan sepenuhnya masa dan tenaga kami dalam membantu jentera parti di Tanjung Piai. Insya-Allah.
  6. Akhir kata, UMNO Tenggara amat berharap agar kepimpinan dapat menzahirkan saranan-saranan yang telah dikemukakan ini untuk pertimbangan selanjutnya. Janganlah kita menjadi seperti burung kakak tua, yang hanya mampu menyanyi tanpa mampu menyantuni.
  7. Sekali lagi, terima kasih atas peluang dan ruang yang telah diberikan. Harapan saya, semoga suara kecil ini dapat memberikan manfaat kepada parti, kepada UMNO dan kepada semua orang Melayu, Insya-Allah. Dan semoga kasih kita, cinta kita, ikhlas dan sayang kita pada bangsa Melayu, pada Islam dan pada tanah air ini akan terus subur.
  8. Sekian, wabilahitaufik walhidayah. Wassalamualaikum w.b.t.

5 Oktober 2019, 12.48 tengah hari
Hotel Trove, Johor Bahru

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.