Tahap sokongan rakyat kepada kerajaan hanya 35 peratus – Merdeka Center

single-image

Anggota parlimen Pakatan Harapan (PH) mendapati gabungan itu akan bertanding di PRK Tanjung Piai dengan kadar populariti terendah sejak Ogos lalu, iaitu 35 peratus, menurut sumber.

Peratusan itu merupakan kadar populariti terendah yang pernah direkodkan sejak PH mengambil alih kerajaan pada Mei 2018.

Keputusan kaji selidik oleh Merdeka Center itu dibentangkan ketika satu temu rapat “mesyuarat tertutup dengan anggota parlimen PH dan Warisan” di sebuah hotel di Shah Alam, dan slaid pembentangan dibocorkan kepaa media hari ini.

Ketika dihubungi, seorang anggota parlimen mengesahkan kesahihan slaid itu – yang turut dilihat Malaysiakini – manakala yang lain enggan mengulas atas sebab “larangan (gag order)”.

Temu rapat itu berlangsung dua hari.

Statistik itu menunjukkan PH merekodkan populariti 87 peratus semasa PRU ke-14 tahun lalu namun mula merudum secara signifikan, khususnya pada separuh pertama tahun 2019.

Berdasarkan statistik Merdeka Center, kata sumber, setakat Ogos populariti PH di kalangan pengundi Cina dan India jatuh ke 41 peratus, manakala 30 peratus pengundi Melayu masih menyokong gabungan itu.

“Secara kasarnya, PH sudah jadi calon bukan pilihan (underdog), dan mendapat markah ‘gagal’,” katanya.

Sejumlah wakil rakyat yang dihubungi Malaysiakini enggan mendedahkan statistik itu atas faktor maklumat sulit dan larangan untuk bercakap tentangnya.

Bagaimanapun, tiada yang membuat penafian ketika disoal berkenaan hal itu. Malah seorang daripadanya berkata, “Ia teruk (tetapi) saya tak boleh beritahu”.

Pada Mei lalu, laporan memetik kaji selidik pandangan awam oleh Kajidata Research yang menunjukkan 40 peratus pengundi Malaysia masih menyokong PH.

Sebulan sebelumnya, kaji selidik Merdeka Center menunjukkan 46 peratus rakyat berpuas hati dengan kepimpinan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, merosot berbanding kadar 83 peratus pada Mei tahun lalu dan 71 peratus pada Ogos – iaitu kira-kira 100 hari pentadbiran PH.

Menurut Merdeka Center, kaji selidik setakat Mac itu juga menunjukkan kadar puas hati terhadap pentadbiran PH pula hanya 39 peratus.

Kadar puas hati terhadap cara pengurusan ekonomi pula ialah 40 peratus, turun dari 56 peratus ketika Mei lalu.

Satu lagi sumber memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa Kementerian Komunikasi dan Multimedia turut mendedahkan satu kaji selidik serupa pada temu rapat itu, yang menunjukkan PH semakin hilang sokongan.

“Banyak faktor yang menyebabkan hal ini, antaranya percanggahan dan pendapat berbeza antara pemimpin PH. Mereka kritik sesama sendiri dan sesetengah (menteri) masuk campur urusan kementerian lain. Juga kerana kurang kerjasama dalam PH.

“Terdapat (pandangan dan persepsi) negatif terhadap enam daripada sepuluh dasar yang diperkenalkan (atau dilaksanakan). Banyak sebab, tak semestinya kerana dasar itu sendiri tak baik, tapi disebabkan pelbagai faktor lain, ia (seolah-olah) menjadi negatif,” kata sumber itu.

Lebih memburukkan keadaan buat PH, pihak pembangkang kini menguasai hala tuju perdebatan dan wacana di media sosial.

Sumber itu berkata PH kelihatan tidak berjaya membuat apa-apa perubahan biarpun pernah berjanji untuk membaiki komunikasi antara parti komponen dan menambah baik usaha menerangkan dasar kepada rakyat.

Turut difahamkan temu rapat itu juga membincangkan status pelaksanaan manifesto PH.

Kata sumber itu lagi, pemimpin PH Johor menyuarakan tentang “peluang tipis” untuk mempertahankan kerusi parlimen Tanjung Piai.

“Mungkin anda boleh tanya Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong tentang ini,” katanya lagi.

Pemimpin PH Sarawak turut membangkitkan tentang pilihan raya negeri Sarawak yang mungkin dijalankan pada 2021.

“Ada juga dibentangkan tentang pengundi-pengundi Melayu, meneroka bagaimana caranya PH dapat meningkatkan sokongan pengundi-pengundi Melayu,” kata seorang sumber yang lain. 

Sumber : Malaysiakini.com

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.