Tahanan positif Covid-19, 60 pegawai, anggota polis disaring

single-image

Johor Bahru: Polis Johor mengesahkan seorang lelaki warga Myanmar yang ditahan bersabit kes bunuh di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, positif Covid-19.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, keputusan itu diperoleh hasil saringan yang dilakukan terhadap suspek berusia 29 tahun, semalam.

Susulan itu, beliau berkata, seramai 60 pegawai dan anggota polis IPD Segamat, sudah menjalani saringan dan kini diarahkan untuk kuarantin di rumah sementara menunggu keputusan saringan petang ini.

“Kalau negatif, mereka akan dibenarkan bertugas kembali. Kalau positif, mereka akan diarahkan menjalani kuarantin di pusat kuarantin.

“Setakat hari ini, mereka (pegawai dan anggota polis) masih kuarantin di rumah,” katanya pada sidang media ketika mengadakan lawatan di sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Skudai, di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, lokap yang menempatkan tahanan di IPD Segamat sudah dilakukan disinfeksi, dan masih beroperasi seperti biasa.

“Kita memang ada prosedur operasi standard (SOP) khusus, apabila kita tangkap pendatang asing tanpa izin (Pati) dan sebagainya, ada (melakukan proses disinfeksi).

“Suspek positif (positif Covid-19) masih dalam lokap, dan dia diasingkan.

“IPD Segamat masih beroperasi. (Kita) Sudah susun atur balik kekuatan (anggota dan pegawai). Kalau tidak cukup, kita akan minta bantuan daripada daerah berdekatan atau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor untuk bantu mereka. Setakat ini, masih mampu beroperasi,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, seorang lelaki warga Bangladesh berusia 44 tahun maut digilis tiga kali dengan kereta Proton Gen2 dipandu suspek warga Indonesia dipercayai berpunca daripada pergaduhan, Selasa lalu.

Susulan kejadian itu, polis menahan tujuh lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga Myanmar berusia antara 29 hingga 35 tahun.

Sumber : Harian Metro

Leave a Comment

Your email address will not be published.