Sultan Johor tegur MP Johor Bahru berbuka di gurdwara Sikh

single-image

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menegur perbuatan Anggota Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir kerana menghadiri majlis berbuka puasa di gurdwara Sikh di negeri itu Selasa lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Sultan Ibrahim bertitah tindakan itu tidak menjaga sensitiviti umat Islam yang sedang menjalankan ibadah puasa.

Baginda juga bertitah acara seumpama itu di rumah ibadat bukan Islam membuka ruang kepada bukan Islam menyebarkan dakyah mereka.

“Adalah sedia dimaklumi bahawa penganut agama lain tidak boleh menyebarkan pegangan mereka kepada umat Islam. 

“Namun apabila seorang Muslim secara sengaja menghadirkan diri ke kuil atas alasan untuk berbuka puasa dengan orang bukan Islam maka tindakan ini telah membuka ruang kepada golongan bukan Islam untuk mendakyahkan agama mereka kepada orang Islam tersebut,” titah Sultan Ibrahim dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi baginda.

Sumber : malaysiakini.com

Titah baginda, perbuatan itu pada masa depan akan membuahkan tindakan-tindakan lain lagi seperti solat, pemberian zakat, ibadah korban, acara tahlil, berdoa dan sembahyang jenazah, meraikan bakal-bakal haji, majlis pernikahan dan lain-lain yang seumpamanya bersama penganut agama lain di premis agama mereka.

“Sebagai ketua agama Islam bagi negeri ini, saya juga tidak boleh membenarkan apa-apa perbuatan yang boleh menyebabkan agama Islam dipandang hina atau rendah. 

“Saya dan keluarga kerap kali hadir dalam meraikan perayaan kaum dan agama lain di dalam negeri ini di tempat mereka tetapi bukan membawa amalan ibadah agama Islam di premis mereka sebagaimana dilakukan ahli parlimen tersebut,” titah baginda.

Selasa lalu, Akmal menghadiri majlis berbuka puasa di Gurdwara Sikh Johor Bahru buat kali kedua.

Dalam hantaran di Facebook, Akmal berkata ia bukan kali pertama dirinya berbuka puasa di gurdwara dan pernah diajak beberapa orang kawan tahun lalu.

Makanan yang disajikan juga, katanya adalah makanan vegan iaitu 100 peratus sayur-sayuran.

Bahkan katanya gurdwara berkenaan juga menyediakan sebuah dewan kosong untuk pelawat beragama Islam menunaikan solat maghrib yang berasingan daripada ruang ibadat bagi penganut Sikh.

Islam tidak terima pluralisme, liberalisme

Sultan Ibrahim bertitah walaupun baginda menyambut baik usaha merapatkan hubungan antara kaum, namun ia mesti mengambil kira sensitiviti rakyat Johor.

“Permuafakatan, kerharmonian dan perpaduan di antara kaum dalam bangsa Johor telah disemarakkan sejak zaman berzaman.

“Maka tidak perlu kepada pendekatan baru yang tidak syarie sebagaimana yang dibuat oleh ahli parlimen tersebut,” titahnya.

Tambah baginda, dalam konteks hubungan antara kaum adalah penting bagi memastikan kedudukan agama Islam sebagai agama negeri dipelihara.

“Tidaklah boleh sama sekali sekiranya untuk menjaga hubungan antara etnik, kedudukan dan kepentingan agama Islam sebagai agama negeri dikesampingkan, apatah lagi dicemari dan menggadai prinsip agam Islam bagi mewujudkan fahaman kesaksamaan antara kaum dan agama.

“Islam sama sekali tidak menerima konsep pluralisme dan liberalisme dalam agama Islam iaitu menyamakan semua agama atas alasan untuk mewujudkan toleransi antara kaum,” titah baginda.

Sehubungan itu baginda mengarahkan pihak berkuasa Islam di Johor mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara itu.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim juga menegur anggota parlimen Labis, Pang Hok Liong kerana berucap di dalam masjid ketika menyampaikan bantuan Ramadan.

Sumber : malaysiakini.com

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.