Sultan Johor di fitnah : di mana suara Menteri Besar Johor?

single-image

Baru-baru ini, sebuah media online iaitu Malaysiakini telah mengeluarkan satu kenyataan yang bertajuk ‘Undangan Khas Aidilfitri Sultan Ibrahim hanya buat UMNO Johor’. Laporan tersebut dikatakan bersumberkan seseorang yang tidak didedahkan siapa individu tersebut.

Melihat kepada kenyataan laporan yang dikeluarkan oleh Malaysiakini ia seolah-olah satu tindakan yang sengaja dilakukan dan berniat jahat untuk memfitnah DYMM Sultan Johor. Malah ia juga satu perbuatan yang tidak beretika kerana membangkitkan salah faham dalam kalangan masyarakat hari ini.

Atau adakah individu yang menjadi sumber Malaysiakini itu adalah ‘orang’ dari Pakatan Harapan Johor sendiri?

Sedangkan hakikatnya majlis yang dihadiri oleh pemimpin UMNO Johor adalah suatu permohonan mengadap sempena Aidilfitri bukannya suatu jemputan khas dari DYMM Sultan Johor seperti mana yang dicanang oleh Malaysiakini. 

Jadi apa motif sebenar Malaysiakini mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah seperti ini?

Malah jika kita lihat sebenarnya tiada isu yang boleh mengatakan bahawa DYMM Sultan Johor telah membuat jemputan khas Aidilfitri buat pemimpin UMNO Johor sahaja. Terang-terang kita dapat lihat semasa jemputan rumah terbuka Aidilfitri Sultan Johor dihadiri oleh pemimpin Pakatan Harapan dan juga pemimpin UMNO.

Pendek kata, pintu Istana Johor sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja tidak kiralah rakyat biasa mahupun ahli-ahli politik yang berbeza ideologinya. Jadi perkara yang berlaku ini sememangnya suatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab kerana cuba memanipulasikan keadaan yang sebenar dan sengaja ingin mencetuskan ketegangan antara pihak yang berkepentingan.

Namun begitu yang hairannya sehingga ke hari ini masih tiada mana-mana pemimpin kerajaan negeri Johor termasuk Menteri Besar Johor, Dato Sahruddin Jamal sendiri yang sudi untuk menegur perbuatan Malaysiakini. Jauh sekali memberi amaran untuk memadam atau menurunkan kenyataan tersebut  dari laman Malaysiakini.

Sepatutnya Sahruddin Jamal selaku Menteri Besar Johor perlu berani ke hadapan untuk mempertahankan Sultan Johor daripada diserang oleh parasit seperti ini. Lebih-lebih lagi beliau merupakan pemimpin no.1 negeri Johor seharusnya menjadi individu pertama yang mengeluarkan kenyataan bagi mempertahankan DYMM Sultan Johor sekali gus memberi amaran keras kepada Malaysiakini.

Persoalannya, adakah Menteri Besar Johor yang baharu ini begitu takut dengan Putrajaya sehinggakan sanggup dan tergamak melihat begitu sahaja Sultan Johor difitnah oleh Malaysiakini? 

Apa yang pasti Sahruddin Jamal perlu berani dan tegas untuk memainkan peranan sebagai Menteri Besar Johor. Bukannya hanya pekak dan membisu sahaja apabila ada sesuatu isu yang dikaitkan dengan DYMM Sultan Johor. 

Sekian

Dhia Hani merupakan Ahli Persatuan Pemikir Muda Johor. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorPress

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.