Sudah tiba masa Tun M fikir tentang pencapaian PH – Ronnie

single-image

KUALA LUMPUR : Ahli pemimpin pusat DAP, Ronnie Liu juga seolah-olah senada dengan Ahli Parlimen Gelugor, Ramkarpal Singh yang mengkritik Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Malah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek itu turut memuji Ramkarpal kerana berani mengatakan sesuatu yang benar kepada Perdana Menteri.

Ronnie yang menulis di Facebook berkata, tindakan Ramkarpa sebenarnya kena dan tepat pada masanya.

“Ramai antara kamu mungkin tidak bersetuju dengan Ramkarpal. Tetapi saya sangat bersetuju sebenarnya.

“Bak kata peribahasa Inggeris, calling a spade, a spade. Ramkarpal berkata demikian dengan niat yang baik. Sebenarnya tidak ramai di luar sana yang berani untuk memberitahu realiti sebenar kepada seseorang yang bergelar Perdana Menteri.

“Sudah tiba masanya untuk Perdana Menteri yang kita sayangi ini berfikir sedalam-dalamnya tentang pencapaian keseluruhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pentadbiran beliau.

“Sebelum semuanya terlambat, tidak ada sesiapa dalam PH mahu dikenali sebagai kerajaan ‘satu penggal’ sahaja. Kami semua mahu PH untuk terus cemerlang dan menunaikan segala apa yang telah dijanjikan,” tulisnya.

Tulisan-tulisan Ronnie turut diletakkan tanda pagar #handover dalam beberapa perkongsian berkaitan peralihan kuasa Perdana Menteri.

Hari ini, Ramkarpal yang juga Pengerusi Biro Perundangan Nasional DAP berkata sebagai ketua kerajaan, Perdana Menteri perlu bertanggungjawab bukan hanya atas kekalahan PH di Kimanis pada hujung minggu lalu.

Malah kata Ramkarpal, Mahathir juga perlu  bertanggungjawab terhadap empat kekalahan pilihan raya sebelum itu, khususnya kemerosotan sokongan yang diterima PH sejak PRU-14.

Ramkarpal mengulas kenyataan Mahathir yang memberikan peringatan bahawa ada kemungkinan kerajaan PH menjadi sepenggal jika perbalahan antara parti dalam gabungan itu berterusan merupakan peringatan dilakukan tepat pada masanya.

Sumber : MalaysiaGazette

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.