Statut Rome: TMJ dakwa kerajaan tak rujuk Majlis Raja-raja

single-image

Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa kerajaan tidak merujuk Majlis Raja-raja Melayu ketika membuat keputusan menyertai Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

“Saya diberitahu oleh DYMM Tuanku bahawa raja-raja tidak pernah dirujuk.

“Jika begitu, anda telah melemahkan Majlis Raja-raja Melayu,” katanya di Twitter hari ini.

Terdahulu Wisma Putra dalam kenyatannya bahawa Keputusan Jemaah Menteri untuk menyertai statut itu telah disembahmaklum kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah pada 15 Januari lalu.

CC telah ditubuhkan di bawah Statut Rome dan telah berkuat kuasa pada tahun 2002.

Ia merupakan mahkamah jenayah antarabangsa yang pertama berasaskan triti dengan matlamat melaksanakan siasatan dan dakwaan ke atas mana-mana individu yang disyaki melakukan jenayah antarabangsa yang sangat serius seperti genosid, jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah pencerobohan.

Pada Jumaat lalu, Tunku Ismail mendakwa langkah kerajaan untuk menyertainya akan menjadikan Raja-raja Melayu tidak relevan dan memberi kesan kepada kedudukan Melayu dan Islam di Malaysia.

Wisma Putra hari ini menjamin kedudukan YDPA tidak akan terancam.

Wisma Putra juga berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 26 Disember 2018 telah menulis kepada pemangku YDPA ketika itu, Sultan Nazrin Shah berkenaan Statut Rome.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah sekali lagi memberi taklimat kepada Sultan Abdullah pada 15 Februari, katanya lagi.

Katanya setakat 4 Mac 2019, sejumlah 124 negara telah menyertai Statut Rome.

Antaranya negara yang mengamalkan sistem raja beperlembagaan seperti Belgium, Kemboja, Denmark, Jepun, Jordan, Lesotho, Liechtenstein, Luxembourg, Belanda, Norway, Samoa, Spain, Sweden dan United Kingdom.

Mengapa perlu tergesa-gesa atau perlunya menandatangani perjanjian ini? Apakah manfaatnya kepada negara? Dengan…

Posted by HRH Crown Prince of Johor on Sunday, 10 March 2019

Dalam satu hantaran Facebook malam ini, Tunku Ismail mendakwa penyertaan Malaysia “tidak bagus” kepada raja-Raja, Melayu dan Islam.

“Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) ini digubal oleh PBB. Siapa yang mendapat faedah daripadanya? Hanya beberapa kuasa besar. Bagaimana mereka itu tidak pernah mempersoalkan apa yang berlaku kepada rakyat Palestin dan bagaimana rakyat tersebut menderita?

“Ini tidak bagus buat Raja-Raja, Melayu dan Islam. Tanpa anda menyedari, kita selaku orang Melayu telah mempermudahkan mereka untuk mencapai matlamat dan agenda mereka. Inilah akibatnya apabila ada segelintir pihak mahu terlalu liberal. Kita sentiasa harus mempertegakkan Islam,” katanya.

Bagaimanapun hantaran itu tidak menjelaskan secara lanjut bagaimana penyertaan Statut Rome – pada asasnya berkenaan jenayah antarabangsa – akan menjejaskan Melayu dan Islam.

Tunku Ismail juga mendakwa statut itu meletakkan YDPA selaku “pemerintah tertinggi” dalam keadaan tergugat dan boleh diheret ke mahkamah antarabangsa.

“Tindakan yang memberi kesan kepada pemerintah tertinggi harus terlebih dahulu mendapat persetujuan dari Majlis Raja-Raja,” katanya lagi.

Penyertaan Malaysia ke Statut Rome diumumkan pada 5 Mac lalu.

Sumber : malaysiakini.com

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.