Statut Rom : patutlah ada MP berani cuba minta Sultan Johor isytihar harta

single-image

Pada minggu lalu kecoh kisah seorang MP di Johor cuba meminta DYMM Sultan Johor serta kerabat diraja Johor untuk mengisytiharkan harta yang dimiliki. Jika ia diteliti semula dapat dilihat bahawa ia mempunyai kaitan rapat dengan isu yang sedang panas iaitu mengenai perjanjian Statut Rom yang ditandatangani oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 4 Mac 2019 yang lalu,

Rupa-rupanya dalam kita tidak sedar, kerajaan Pakatan Harapan yang diwakili oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dengan secara rasminya telah menandatangani Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Sekali gus ini bermakna Malaysia sudah mengesahkan untuk menjadi salah sebuah negara anggota yang menerima Statut Rom.

Walau bagaimanapun, penerimaan Malaysia terhadap Statut Rom sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan kedaulatan dan kedudukan Agong sebagai Ketua Negara serta raja-raja Melayu yang lain. Apabila kedaulatan raja-raja Melayu mula terancam secara tidak langsung mendatangkan implikasi terhadap status dan kedudukan orang Melayu.

Malah pensyarah USIM, Dr Farred Mohd Hassan ada menjelaskan bahawa Statut Rom boleh gugat kuasa Agong. Jelasnya Perkara 27 dan Perkara 28 Statut Rom memperuntukkan bahawa ketua negara dan komander tentera adalah tertakluk kepada bidang kuasa ICC jika mana-mana jenayah yang dilakukan oleh mana-mana orang bawahan atau pihak berkuasa negara tersebut.

Ini bermakna sebarang imuniti atau kekebalan yang diperuntukkan kepada mereka tidak akan terpakai jika mereka dibicarakan di hadapan ICC. Pendek kata, Agong dan Raja-raja Melayu akan hilang keistimewaan yang dimiliki apabila undang-undang ini diguna pakai.

Jadi tidak hairanlah jika baru-baru ini ada MP di Johor yang berani meminta DYMM Sultan Johor dan kerabat diraja Johor untuk mengisytiharkan harta. Adakah dengan perjanjian Statut Rom yang ditandatangani oleh kerajaan Pakatan Harapan menjadikan ia sebagai benteng utama oleh orang berkepentingan untuk mempersoalkan setiap tindak tanduk kerabat diraja?

Malah ia seolah-olah tindakan untuk menutup mulut DYMM Sultan Johor termasuk Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail yang acap kali lantang bersuara mengkritik tindakan kerajaan. Walhal kita sedia maklum, sifat DYMM Sultan Johor dan keluarganya yang sentiasa berterus terang soal kepentingan rakyat khususnya rakyat Johor.

Persoalannya lagi, adakah semua ini didalangi oleh sebuah parti yang kita tahu anti kepada institusi diraja dan keistimewaan orang melayu?

Apabila undang-undang ini terpakai, jadi sejauh manakah suara-suara Raja-raja Melayu dalam urusan pentadbiran lebih-lebih lagi mengenai orang Melayu dan agama Islam? Adakah masih wajar kedudukan Raja-raja Melayu di negara ini?

Justeru, orang-orang Melayu perlu bersatu mempertahankan institusi Raja-raja Melayu memandangkan ia adalah benteng terakhir untuk orang Melayu dan agam Islam.


Dhia Hani merupakan Ahli Persatuan Pemikir Muda Johor. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorPress

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.