Skim bantuan tanam semula tidak adil kerana majoritinya pekebun Melayu?

single-image

Skim bantuan tanam semula ini mula diperkenalkan pada zaman pemerintahan kerajaan Barisan Nasional. Kebanyakannya yang menerima manfaat ini terdiri daripada pekebun kecil bumiputera Melayu, pribumi di Sarawak dan Sabah serta Orang Asli. Ada pun sebilangan kecilnya kaum Cina dan India.

Tidak boleh dinafikan lagi skim ini sebenarnya banyak memberi manfaat kepada pekebun-pekebun kecil. Lebih-lebih lagi, pekebun kecil yang seratus peratus bergantung harap kepada hasil pertanian mereka bagi menampung kos kehidupan seharian.

Ketika zaman pemerintahan kerajaan Barisan Nasional, mereka telah memperuntukan lebih kurang RM510 juta untuk skim tanam semula sawit pekebun kecil bagi tempoh tiga tahun tahun.

Tetapi selepas pemerintahan diambil alih oleh kerajaan Pakatan Harapan disangka panas sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Tiba-tiba sahaja Menteri Industri Utama, Teresa Kok mengumumkan untuk memansuhkan skim bantuan tanam semula sawit yang telah diperkenalkan sebelum ini dengan alasan ianya tidak adil.

Tindakan drastik kerajaan ini sememangnya mendatangkan keresahan kepada semua pihak terutama sekali pekebun kecil yang amat terkesan dengan pengumuman ini. Tentunya dengan pengumuman ini mereka begitu terbeban ibarat ada batu besar yang tiba-tiba jatuh terus menghempap kepala mereka.

Jika skim ini diberhentikan dengan alasan ianya tidak adil, adakah dek kerana skim ini banyak memberi manfaat kepada pekebun kecil sahaja dan ladang besar tidak mendapat manfaat daripadanya?

Kita pun sedia maklum siapa disebalik ‘pekebun kecil’ dan siapa pula disebalik ‘tokey lading besar’. Fikir-fikirkanlah..

Yang lebih kelakar apabila kerajaan sudah memansuhkan skim bantuan tanam semula ini, kemudiannya mereka perkenalkan pula satu idea yang saya rasa sangat dangkal dan tidak relevan langsung.

Kerajaan telah memperkenalkan Skim Pinjaman kepada pekebun kecil sawit. Kenapa saya rasa idea ini dangkal dan tidak relevan?

Kita sendiri tahu pekebun kecil ini terdiri daripada golongan hidup di luar bandar yang wajar dibantu oleh kerajaan. Bayangkan jika mereka membuat pinjaman ini bagaimana mereka mahu membayarnya kembali dengan keadaan harga sawit yang semakin hari semakin susut?

Belum lagi kos perbelanjaan pertanian yang dijalankan tentunya tinggi dan membebankan berbanding pendapat yang mereka perolehi. Jadi idea skim ini sememangnya tidak relevan malah ianya juga merupakan langkah untuk membunuh aktiviti pertanian pekebun kecil.

Entah-entah bukan sahaja membunuh aktiviti pertanian pekebun kecil, silap-silap tanah mereka juga boleh tergadai jika mereka tidak mampu membayar pinjaman tersebut kembali.

Malah adakah kerajaan mempunyai jaminan bahawa tanah-tanah milik pekebun kecil ini tidak akan dirampas atau dijual kepada tokey-tokey ladang besar jika mereka tidak mampu membayarnya suatu hari nanti?

Jika ada jaminan tentang perkara ini, saya rasa tiada masalah untuk pekebun kecil membuat pinjaman tersebut. Tetapi jika tiada, saya mampu nasihatkan hati-hatilah kepada pekebun kecil takut-takut tanpa sedar sebelah kaki sudah termasuk perangkap ‘harimau belang’.

Sekian,

Dhia Hani merupakan Ahli Persatuan Pemikir Muda Johor. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorPress

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.