Sisa toksik tak terawat boleh ancam nyawa… ini ulasan penuh Pensyarah Kimia USM wajib baca!

single-image

KUALA LUMPUR : Pembuangan sisa toksik tidak terawat, berisiko menghasilkan tindak balas kimia seperti kebakaran dan letupan, sekali gus mengancam persekitaran dan nyawa manusia serta hidupan lain, kata Pensyarah Kimia di Pusat Pengajian Sains Kimia (PPSK) Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Mohd Rizal Razali.

Beliau berkata, sisa toksik yang mengandungi bahan kimia seperti Benzene dan Hydgrogen Cyanide misalnya, amat berbahaya apabila bertindak balas dengan bahan kimia lain atau pun jika disentuh.

ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran sisa toksik, awas jika anda alami gejala berikut… Ini nasihat penting Jabatan Kesihatan Johor

“Hydrogen Cyanide adalah bahan yang sering digunakan dalam industri besi, dan merupakan bahan kawalan yang diguna untuk buat bom juga, sebab ia boleh membunuh (poisonous), ia cepat meresap.

“Pendedahan kepada Benzene dalam tempoh berpanjangan pula boleh menyebabkan kanser, kerana sifatnya yang karsinogenik (penyebab kanser). Bahan seperti ini sudah lama tidak digunakan di makmal penyelidikan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Khamis lepas berlaku kes pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang berikutan pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim yang sehingga hari ini menyebabkan 34 sekolah diarah tutup dan lebih 500 orang mendapat rawatan berikutan mengalami sesak nafas, loya dan muntah.

Berdasarkan keputusan analisis terhadap empat sampel diambil Jabatan Alam Sekitar, terdapat pelarut organik benzene, toulena, xilena dan ethilbenzena serta D-Limonina. Pelarut D-Limonina digunakan untuk proses pirolysis tayar.

Mohd Rizal berkata, sekiranya sesuatu kawasan misalnya seperti sungai telah dicemari sisa toksik, ia bukanlah suatu perkara yang mudah untuk meneutralkan semula bahan kimia berkenaan.

“Misalnya gas metana, penggunaan topeng muka juga tidak berapa signifikan kerana topeng hanya berfungsi untuk menghalang habuk, gas metana ini pula dalam bentuk udara, jadi udara tetap boleh meresap ke dalam hidung.

“Dari segi fizikal, sama ada kita ambil bahan kimia itu dan buat pelupusan atau lakukan proses semburan sabun di atas permukaan minyak. Bermain dengan bahan kimia tak banyak option, sebab itu ambil masa kerana kita berhadapan dengan bahan yang merbahaya,” katanya.

Jelasnya, isu pembuangan sisa toksik secara haram di negara ini tidaklah terlalu serius, bagaimanapun masih terdapat majikan dan pemilik kilang yang memilih jalan haram itu atas alasan kos yang mahal, dan proses yang lama untuk merawat sisa kimia sebelum boleh dilepaskan.

Kesalahan itu, tertakluk di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun, dan denda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu Pensyarah Kanan Kimia Industri, PPSK, USM, Dr Mohd Hazwan Hussain berkata, kanak-kanak adalah individu yang berisiko tinggi, mengalami kesan daripada pembuangan sisa toksik dan kebiasaannya mereka akan sukar bernafas, selain pening dan loya.

“Sistem imun badan kanak-kanak adalah lebih rendah berbanding orang dewasa. Ini menyebabkan sistem pernafasan mereka sangat mudah terdedah kepada sebarang infeksi atau pencemaran,” katanya yang turut menyokong langkah penutupan sekolah sekiranya terjadi sesuatu pencemaran.

Mohd Hazwan turut menasihatkan orang ramai agar dapat mengurangkan aktiviti di kawasan pencemaran dan mengelakkan penggunaan air sungai yang tercemar sehingga paras kandungan sisa kimia tersebut betul-betul rendah atau seeloknya 0 peratus.

Sumber : Bernama.

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.