Singapura mahu sambung laluan pejalan kaki berbumbung di Tambak Johor

single-image

ISKANDAR PUTERI: Singapura berminat menyambung laluan pejalan kaki berbumbung yang dicadangkan Malaysia di Tambak Johor bagi mengatasi masalah kesesakan kritikal di laluan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri, berkata projek pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung itu sedang diteliti kerajaan Persekutuan sebelum ia dimuktamadkan.

Laluan pejalan kaki berbumbung sejauh kira-kira 350 meter di bahagian Malaysia itu akan dibina secara bertingkat dengan dilengkapi pendingin hawa dan landasan bergerak automatik di bahagian tertentu membabitkan anggaran kos RM30 juta.

“Konsulat Singapura di Johor Bahru baru-baru ini menyampaikan hasrat kerajaan republik itu untuk menyambung pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung itu di bahagian Singapura dan meminta pelan rekaan dihasilkan kita bagi mereka pertimbangkan rekaan di bahagian mereka pula.

“Kita amat mengalu-alukan langkah Singapura menyambung pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung ini kerana ia bukan sahaja memberi kemudahan kepada rakyat kedua-dua negara malah ia menjamin keselamatan pengguna yang sebelum ini terpaksa membahayakan diri berjalan di atas Tambak Johor.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) bulan lalu memaklumkan projek ini sudah di peringkat kajian sebelum kata putus diberikan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Cadangan membina laluan pejalan kaki berbumbung itu ialah antara langkah jangka pendek bagi mengatasi masalah kesesakan di Tambak Johor yang dibincangkan Jawatankuasa Penyelarasan Keputusan Kabinet Menangani Kesesakan Tambak Johor.

Sebelum ini, kesesakan di Tambak Johor dilaporkan semakin kritikal dengan majoriti 250,000 pekerja berulang-alik menerusinya selain 70 peratus pelancong dan pelawat menggunakannya untuk memasuki Malaysia sehingga ia disenaraikan sebagai laluan darat paling sibuk di dunia.

Terdahulu, Solihan yang juga wakil rakyat BERSATU bagi DUN Tenang menjawab soalan Andrew Chen (DAP-Stulang) pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Andrew mahu tahu mengenai status perkembangan projek laluan pejalan kaki berbumbung di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini.

Mengulas lanjut, Solihan berkata, kerajaan negeri hingga kini masih lagi menunggu kelulusan peruntukan daripada Kementerian Kerja Raya bagi melaksanakan kerja pembinaan.

“Projek pembinaan laluan berkenaan akan dibuat di atas Tambak Johor CIQ BSI yang diselenggara oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), jadi ia perlu penelitian lanjut daripada pelbagai aspek,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.