Siapa sebenar bimbang ‘kesedaran’ anak muda?

single-image

SEKARANG kita bukan bercakap soal kebangkitan anak muda, tetapi ‘kesedaran’ anak muda.

Benar, anak muda telah bangkit pada PRU-14 lalu dengan membuat keputusan memilih PH untuk menerajui pemerintahan negara.

Tiada siapa yang menyalahkan anak muda, kerana dalam negara berdemokrasi ini, itu hak mereka.

Tetapi akhirnya anak muda sedar bahawa, keputusan mereka memilih PH pada PRU-14 adalah keputusan yang salah.

Bukan sebulan tetapi 22 bulan PH berkuasa di negara ini, apa mereka lakukan untuk anak muda yang mengundi mereka pada PRU-14?

Dalam tempoh 22 bulan memerintah, rakyat termasuk anak muda terluka dan terkesan dengan kerajaan Pusat pimpinan PH sebelum ini yang dilihat gagal menunaikan janji manifesto dan menjaga hak dan kepentingan rakyat.

Kita tidak perlu ambil semua manifesto PH sebab majoritinya tidak ditunaikan, kita ambil contoh terdekat dengan anak muda isu PTPTN. Adakah pinjaman itu dimansuhkan?

Akhirnya bermula di PRK Cameron Highlands, Pahang kita dapat lihat anak-anak muda telah kembali menyokong Barisan Nasional (BN).

Selepas Cameron Highlands, BN turut memang di enam siri PRK lagi selepas itu iaitu di Semenyih, Rantau, Tanjung Piai, Kimanis, Chini dan Slim.

Tentunya faktor ‘kesedaran’ anak muda menjadi salah satu penyumbang kepada kemenangan BN di tujuh siri PRK berkenaan.

Jadi, mungkin melihat kepada ‘kesedaran’ dalam kalangan anak muda itu, bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhasrat menubuhkan parti berasaskan golongan muda bagi menghadapi PRU-15.

Selama ini, sewaktu bersama Armada dan menjadi Menteri Belia dan Sukan, apa Syed Saddiq lakukan untuk anak muda? Kenapa selepas PH tumbang kembali memikirkan soal anak muda?

Sebagai maklum balas kepada hasrat Syed Saddiq itu, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad memaklumkan anak muda dan “orang lama” perlu bersama untuk memperkukuh perpaduan, bukan berjuang di bawah parti yang khusus untuk mereka.

Di Negeri Johor sendiri, sejak Datuk Hasni mengambil alih tampuk pemerintahan negeri selepas tumbang kerajaan PH di Johor, pelbagai usaha telah dilakukan untuk anak muda di negeri ini.

Tentunya anak muda tidak akan diabaikan oleh kerajaan negeri Johor kerana kita sedar kepimpinan masa kini perlu melihat kepentingan anak muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara.

Sebab itu penting seperti ditekankan oleh Datuk Hasni, orang muda dan ‘orang lama’ perlu bersama-sama untuk membentuk perpaduan bukan saja di negeri Johor malah di seluruh negara.

Tetapi saya berasa hairan apabila Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Asim Abdullah berkata, Datuk Hasni dilihat bimbang dengan kebangkitan golongan muda di Johor.

Persoalan saya, untuk apa Datuk Hasni perlu berasa bimbang sedangkan Menteri Besar Johor itu bersama-sama dengan ‘kesedaran’ anak muda untuk menerajui negeri tercinta ini.

Jadi, siapa sebenarnya yang berasa bimbang dengan ‘kesedaran’ anak muda ketika ini?

Tepuk dada tanya selera.

MOHD HAIRI MAD SHAH
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.