Setiakawan Barisan Nasional

single-image

Saya menulis sebagai respons kepada Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, berkenaan artikel yang bertajuk “UMNO more respectful now, MCA told” yang bertarikh 27 January 2020. Artikel ini disiarkan di laman The Malaysian Insight. 

Pertama-tamanya, Barisan Nasional telah banyak belajar dan bangkit semenjak kekalahan di PRU-14 lalu. Mengungkap sejarah, Barisan Nasional sebagai sebuah pakatan politik telah dinstitusikan secara formal pada tahun 1973. Sekarang, ia sudah berumur 47 tahun lamanya. Pakatan politik ini bermula secara tidak sengaja pada pilihan raya perbandaran tahun 1952. 

Pada masa itu, kerjasama politik di antara UMNO dan MCA adalah dilihat sebagai satu tawaran yang munasabah kepada pengundi. Ini kerana, tidak ada satu pun parti berteraskan kaum yang bertanding pada pilihan raya perbandaran 1952. Maka UMNO dan MCA memilih untuk bekerjasama atas semangat setiakawan. Kita berkira-kira dan menghitung sokongan, lalu merangka strategi bersama untuk memenangi pilihan raya itu. 

Kemudian, setahun selepas pilihan raya perbandaran 1952, UMNO dan MCA telah secara fomal diiktiraf di bawah label Parti Perikatan. 

Sesungguhnya, UMNO dan MCA masing-masing telah bekerjasama, bekerja dan bernegosiasi bersama semenjak sebelum merdeka lagi. Dalam erti kata yang mudah, Malaysia yang ada sekarang adalah hasil daripada siri-siri dialog perbincangan yang jujur dan teliti yang dilakukan oleh pendiri bangsa dan bapa-bapa negara kita. 

Oleh itu, saya amat setuju dengan pandangan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong. Bahawa adalah amat memalukan jika Barisan Nasional dibubarkan mahupun dibiarkan tanpa sebarang penambahbaikan. Pada saat dan ketika ini, semua pemimpin di dalam pakatan politik Barisan Nasional harus menguatkan Barisan Nasional. Dan pada masa yang sama, bekerja keras untuk menjayakan Muafakat Nasional yang dimeterai beberapa bulan yang lalu. 

Sejauh mana kita mahu Muafakat Nasional untuk dijayakan, sejauh itu jugalah kita dambakan Barisan Nasional untuk menjadi pilihan utama pengundi pada PRU yang akan datang. 

Atas sebab itu, UMNO Johor akan terus memberikan kepimpinan yang stabil dan bertanggungjawab untuk Barisan Nasional. Kita semua adalah sama di dalam pakatan politik ini. Namun sebagai yang pertama di antara yang sama, UMNO harus menawarkan Kepimpinan Melayu yang dipercayai, jujur dan berhikmah. Itulah komitmen kita.

Realitinya, setiap daripada kita termasuk MIC, adalah parti-parti yang mewakili  dan memperjuangkan kepentingan kaum dan komuniti masing-masing. Saya akui, akan wujud perselisihan dari masa ke masa, namun kita boleh menyelesaikannya – untuk Malaysia. 

Marilah kita bersama-sama menginsafi bahawa negara ini dibina oleh mereka yang moderat dan tidak melampaui batas. Malaysia sudah ditakdirkan untuk menjadi sebuah negara yang sedemikian. Jadi ia adalah tugas utama kita bersama, untuk tidak melupakan hakikat tersebut.

Bercakap mengenai pilihan raya kecil Tanjung Piai, ia merupakan satu manifestasi dan komitmen UMNO, terutama sekali UMNO Johor kepada semangat perkongsian kuasa dan konsensus. Barisan Nasional akan kembali menjadi sebuah pakatan yang matang jika kita dengan jujur berupaya untuk memahami kehendak dan keperluan masing-masing. Berbincang dan bertolak ansur untuk kebaikan bersama, sebagai rakan akrab di dalam pakatan politik bernama Barisan Nasional. 

Kalahnya Barisan Nasional pada PRU yang lalu telah menyedarkan kita tentang kelemahan-kelemahan yang timbul. Itu adalah norma manusia. Dan ia juga adalah norma serta kewajipan kita sekarang, untuk memperbaikinya. 

Datuk Ir. Haji Hasni Mohammad
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.