Segera perkasa perkhidmatan kesihatan awam: Tok Mat

single-image

SHAH ALAM : Sektor perkhidmatan kesihatan awam negara perlu diperkasa secara berganda tanpa berlengah susulan vaksin masih belum diterima.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sistem kesihatan berfungsi dengan baik kerana dedikasi dan kerja keras semua petugas sama ada tetap, kontrak dan sukarelawan.

Tambahnya, negara perlu memperkuatkan sistem dengan menambah dan mengisi semua keperluan perjawatan, membawa bakat terbaik menyertai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Selain itu, latihan berterusan bagi membangun kompetensi petugas kesihatan dan menyediakan kemudahan kesihatan komprehensif bagi mempertingkatkan sistem kesihatan negara,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau pada Isnin.

Menurut beliau, walaupun vaksinasi telah bermula, tetapi ‘vaccine nationalism’ oleh sesetengah negara maju menyebabkan negara membangun dan kurang membangun menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan vaksin.

“Terdapat 130 negara yang masih belum menerima vaksin dan ada yang tidak berkemampuan untuk membelinya menyebabkan pandemik terus menjadi ancaman keselamatan global sehingga semua mendapat imunisasi dan membangun imunisasi kelompok,” katanya.

Tambah Mohamad, permohonan perjawatan tambahan pada Oktober lalu perlu diwujudkan segera selain menawarkan jawatan tetap dengan segera kepada petugas kesihatan kontrak dan sambilan yang sedang berkhidmat.

“Mereka telah berkhidmat pada waktu yang sangat sukar dan pengalaman sebagai petugas hadapan sangat berharga untuk memperkuatkan sistem kesihatan awam kita,”

Menurut beliau, sukarelawan yang terdiri daripada pesara dan pelbagai masyarakat yang lain mesti terus dilatih dan berada dalam pangkalan data KKM kerana mereka boleh dimobilisasikan segera dalam keadaan kritikal.

Sumber : Sinar Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published.