Saya pun terima panggilan ‘scammer’: Mohd Khalil

single-image

KULAI : Polis Johor menasihatkan masyarakat di negeri ini, agar lebih berhati-hati dan tidak terpedaya dengan ‘scam’ menerusi panggilan telefon.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, beliau juga tidak terkecuali menerima panggilan daripada ‘scammer’ yang memaklumkan dirinya akan disiasat.

“Masyarakat patut risau dan takut sekarang ini ialah ‘scam’. Hari-hari kita ada pengadu tentang ‘scam’. Saya sendiri terima telefon mengatakan saya akan disiasat.

“Nombor itu (scammer) mengatakan saya akan disiasat dan minta saya rujuk sana, rujuk sini. Nombor telefon saya sendiri kena ‘scam’,” katanya pada sidang media selepas hadir Program High Profile Policing di Sekolah Kebangsaan (SK) Polis Kem di sini hari ini.

Mohd Khalil berkata, masyarakat diminta untuk berwaspada malah merujuk kepada Facebook Polis Johor yang menyiarkan posting berkaitan tips elak menjadi mangsa ‘scam’.

Secara berseloroh, beliau akui tidak melayan ‘scammer’ tersebut kerana bimbang terpedaya dan menjadi mangsa yang disifatkan mempunyai daya pengaruh yang tinggi.

“Ketua polis pun sanggup mereka hendak ‘scam’. Jadi masyarakat kena berjaga-jaga. Faktanya, ‘scammer’ tak kira siapa mangsa dia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khalil memaklumkan tiada kes buli pelajar sekolah dilaporkan di Johor sehingga ke saat ini.

“Kes buli ke, organ ke dan sebagainya sebenarnya banyak kes yang ditularkan semula. Ia dikitar semula.

“Jadi masyarakat menjadi takut (bila dikitar semula), dan diingatkan benda itu adalah ‘real’. Tetapi sebenarnya ia tidak ‘real’,” katanya.

Ditanya sama ada wujudnya kumpulan kongsi gelap merekrut pelajar sekolah menjadi ahli kumpulan tersebut di Johor, beliau berkata, terdapat dua kes baru-baru ini, namun sudah dikenal pasti dan ditangkap.

“Dua kes yang mana pelajar sekolah direkrut dan dipaksa untuk jadi ahli kongsi gelap. Kita memandang serius perkara ini.

“Polis Johor tidak akan meremehkan kes ini dan saya telah arahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan kedua-dua suspek telah tangkap,” katanya.

Mohd Khalil juga mahu ibu bapa yang mengetahui anak masing-masing terganggu kerana dipaksa masuk kumpulan kongsi gelap agar segera melaporkan kepada polis.

Sumber : Sinar Harian

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.