Satu kes JE dikesan di Pontian, Johor

single-image

JOHOR BAHRU : Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pontian, Johor menerima laporan satu kes Japanese Encephalitis (JE) melibatkan seorang lelaki warganegara Bangladesh di daerah itu, pada Rabu, 24 Jun lepas .

Pengarah Kesihatan Johor, Dr Aman Rabu berkata, pesakit itu bagaimanapun dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru sebelum itu pada 21 Mei lepas kerana mengalami demam dan tanda-tanda radang otak.

Menurutnya, pesakit itu kemudian dirawat sebagai kes ‘meningeal encephalitis’ dan seterusnya dibenarkan pulang dalam keadaan sihat pada 3 Jun lepas.

Namun begitu, berdasarkan laporan makmal yang diterima daripada Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan kemudiannya, mangsa disahkan menghidap penyakit JE, kata beliau dalam kenyataan di sini, hari ini.

“Ekoran itu, PKD Pontian telah membuat siasatan kes di lapangan. Pesakit bekerja di sebuah kilang membuat bahan binaan di Ulu Choh, Pontian.

“Aktiviti pengesanan kes aktif di lokasi tempat tinggal dan kerja pesakit itu termasuk pencarian kes di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta berdekatan, telah dijalankan dengan seramai 390 orang disaring untuk gejala penyakit JE iaitu demam, sakit kepala, kekejangan leher, lemah otot atau sawan,” katanya.

Dr Aman berkata, hasil saringan itu bagaimanapun tidak mengesan kes baharu dan sehubungan itu, kes berkenaan disifatkan sebagai kejadian sporadik.

“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk terus mencari punca JE di sekitar kawasan itu. Bagi mengurangkan risiko jangkitan, masyarakat di kawasan ini dinasihatkan mengelak aktiviti di luar rumah pada waktu malam, menggunakan ‘repelen’ dan memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang ketika berada di luar rumah untuk mencegah gigigitan nyamuk.

“Selain itu, mereka dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan sekiranya mengalami demam dan radang otak,” kata beliau.

Sumber : Bernama

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.