Ringkasan ucapan perbahasan belanjawan Johor 2021

single-image

Sokongan dan Penghargaan kepada YAB Menteri Besar Johor dan Institusi Kerajaan

  1. Walaupun dengan pelbagai rintangan dan perkara yang ada pada hari ini, kerajaan di bawah kepimpinan YAB Datuk Hasni Mohammad yang berjaya membawa kepada kita satu perancangan terbaik yang akhirnya memberi kesan positif kepada semua golongan.
  2. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada YAB Menteri Besar Johor, barisan EXCO, petugas barisan hadapan, penjawat awam, badan bukan kerajaan dan semua pihak yang sentiasa memberi keyakinan rakyat kepada keprihatinan kerajaan.

Program Jaminan Bekalan Makanan dan Penglibatan Golongan Muda dalam Sektor Pertanian

  1. Kerajaan perlu menggembleng semua sumber bagi menggerakkan dan meningkatkan produksi makanan domestik dengan bantuan dan komponen teknologi baharu, teknologi pintar dan jaringan pertanian baharu. Sudah tiba masanya, negeri Johor mengurangkan kebergantungan kepada negeri lain dan negara luar dalam mendapatkan bekalan makanan.
  2. Melalui program pemilikan teknologi mekanisasi atau automasi, ianya bukan sahaja meningkatkan produktiviti hasil tanaman malah penglibatan golongan orang muda dalam sektor pertanian. Sektor pertanian yang sebelum ini dilihat tidak menarik dan tidak seksi akan dilihat sangat selari dengan trend dan orang muda tentunya akan lebih berminat.

Gelombang Digital dalam Sektor Ekonomi

  1. Kerajaan tidak boleh berharap dengan sumber pendapatan yang konvensional. Maka, saya melihat tumpuan yang diberikan oleh YAB Menteri Besar tentang Johor Digital ini, banyak peluang sebagai sumber baharu dan ekonomi baharu.
  2. Saya amat yakin suasana dan permintaan tinggi tentang ekonomi digital ketika ini, ianya akan lebih daripada sasaran 20% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
  3. Selain kerjasama bersama Shopee melalui Johor E-Marketplace, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan pemain industri lain seperti Grab Food, Grab Mart, Food Panda Delivery dan Food Panda Shop. Kemudian, pemantauan dapat dibuat terhadap kebajikan peniaga kecil yang dikenakan caj 30%.
  4. Pengurusan dan pembangunan data diakui sangat penting. Antara langkah yang boleh dilakukan ialah kolaborasi dan perkongsian data antara agensi-agensi negeri serta perkongsian data antara agensi kerajaan pusat dan negeri. Ianya juga perlu dibuat dengan lebih mudah dengan kos yang minimum.

Memperkasa Modal Insan melalui Pendigitalan

  1. Saya kongsikan cadangan Saudara Shahril Sufian Hamdan bagi cadangan pelaksanaan Skim Jaminan Pekerjaan yakni perbelanjaan kewangan melalui beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri. Dalam hal ini, pengambilan lebihan bekalan buruh dan menggajikan mereka bagi merancakkan aktiviti-aktiviti ekonomi masyarakat. Contohnya, tenaga kerja untuk mendigitalisasi dokumen-dokumen amat diperlukan bagi menggantikan sistem pemfailan manual.

Tuntutan Digital dalam Pembelajaran dan Pengajaran

  1. Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia, sebanyak 37% pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara tidak mempunyai peranti pembelajaran.
  2. Saya telah mencadangkan agar kerjasama kerajaan dengan swasta untuk pembelian peranti seperti komputer, telefon pintar dan mesin pencetak secara mudah dengan pemberian rebat atau secara ansuran.
  3. Kedua, memberi kebenaran kepada pelajar yang betul-betul tidak berkemampuan untuk datang ke sekolah mengikut SOP bagi menggunakan kemudahan di makmal komputer agar pelajar dapat mengikut sesi pembelajaran atas talian.
  4. Pelaksanaan Johor Wi-Fi 2.0 turut perlu dilihat kepada dua objektif iaitu kemudahan capaian internet secara percuma dan capaian internet bagi kawasan yang mengalami masalah akses. Sebagai contoh, di kawasan Panti iaitu di Kampung Orang Asli Sayong Pinang dan perkampungan lain yang juga mengalami masalah yang sama, walaupun mungkin tiada nilai komersial di lokasi ini.
  5. Maka, intervensi kerajaan amatlah diperlukan bersama syarikat telekomunikasi untuk meluaskan capaian serta memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan yang bermasalah.

Ruang Produk Pelancongan Tempatan dan Santuari Gajah Johor

  1. Diharapkan produk pelancongan di kawasan Panti seperti Air Terjun Kota Tinggi, Gunung Panti, Gunung Muntahak, RAF Point dan mungkin tahun hadapan Santuari Gajah Johor (JES) tidak dilupakan. Ianya sebagai sumber tambahan kepada penduduk setempat.
  2. Menyentuh pembangunan Santuari Gajah Johor (JES), mohon ianya dapat disempurnakan pada tahun 2021 tanpa ada penangguhan lagi. Isu keselamatan nyawa dan harta benda amat penting dalam soal ini.

Saluran Bantuan Rakyat Disambut Baik

  1. Terima kasih kepada semua pihak yang turut menyalurkan bantuan berbentuk tanggungjawab sosial korporat dan lain-lain.
  2. Namun, saya berharap syarat kelayakan dapat dilonggarkan serta penyampaian maklumat perlu lebih berkesan agar rakyat dapat menikmati manfaat.

Hahasrin Hashim
ADUN Kawasan Panti

1 Disember 2020, 3.42 petang

https://www.facebook.com/521472701573319/posts/1248862935500955/

Leave a Comment

Your email address will not be published.