Rakyat sudah bosan dengan permainan persepsi PH

single-image

Selepas beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini yang menyaksikan kekalahan Pakatan Harapan. Kini sekali lagi Pakatan Harapan berhadapan dengan kekalahan yang lebih teruk dengan jurang majoriti yang bergitu besar di PRK Tanjung Piai.

Melihat kepada kekalahan demi kekalahan Pakatan Harapan,  satu kesimpulan besar dapat dibuat yakni rakyat kini semakin bosan dengan segala permainan persepsi yang mereka mainkan selama ini.

Baik sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 mahupun selepas membentuk ‘Malaysia Baharu’. Tiada apa yang berubah, masih menggunakan modal yang sama sehinggakan rakyat sudah lali dan muak dengan apa yang Pakatan Harapan katakan.

Bayangkan sudah lebih setahun menjadi kerajaan tetapi pemimpin Pakatan Harapan rata-ratanya masih sibuk dan acap kali mengulang-ulang persepsi yang sama. Antaranya berkaitan dengan Najib Razak, Zahid Hamidi, 1MDB, hutang negara dan bermacam-macam lagi.

Memang benar rakyat mahu lihat mereka yang bersalah dihukum. Tetapi rakyat tetap bosan jika sudah lebih setahunpun masih naratif yang sama dan seolah-olah semua ini tidak berpenghujungpun.

Malah apabila sudah berada di blok kerajaan, Pakatan Harapan sepatutnya berfikiran lebih matang untuk membezakan urusan politik dan pentadbiran negara. Ini tidak semuanya dicampur adukkan sekali sehingga ia memberi kesan yang mendalam kepada ekonomi negara ini.

Hakikatnya sekarang ini, rakyat hanya mahu melihat kerajaan pada hari ini bekerja untuk rakyat dan negara. Dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi ini sepatutnya kerajaan berusaha untuk menangani masalah ini.

Malah, isu kepentingan rakyat juga perlu sentiasa menjadi keutamaan bagi kerajaan supaya dapat mencari dasar-dasar yang tepat untuk rakyat keluar daripada segala permasalahan mereka hadapi. Terutamanya ketika berhadapan dengan ekonomi yang tidak menentu dan mencabar seperti sekarang ini. Bukannya heret rakyat dengan segala masalah politik Pakatan Harapan.

Percayalah, sekiranya Pakatan Harapan berterusan bermain dengan persepsi ‘basi’ ini, jangan terperanjat jika Pakatan Harapan akan tumbang pada PRU15 nanti. Buktinya, PRK Tanjung Piai sudah memberi signal yang jelas bagaimana penerimaan rakyat terhadap Pakatan Harapan.

Natasha Azmi,

Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorPress.

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.