Rakyat perlu bersedia hadapi kenaikan harga minyak

single-image

KUALA LUMPUR : Rakyat di negara ini perlu bersedia menghadapi kenaikan harga minyak susulan keputusan kerajaan melaksanakan pemberian subsidi bersasar kepada 2.9 juta golongan B40 menerusi Program Subsidi Petrol bermula 1 Januari tahun depan.

Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur, Samsudin Mohamad Fauzi berkata, langkah itu berisiko kerana bakal memberi implikasi besar kepada kehidupan seluruh rakyat akibat kenaikan harga petrol yang dijangka mencecah sehingga RM3 seliter.

Katanya, keputusan itu perlu ditangguhkan kerana ia dilaksanakan bukan pada masa sesuai di saat orang ramai menghadapi tekanan ekonomi akibat pelbagai masalah termasuk pengangguran, harga rumah tinggi dan perbelanjaan harian.

“Bagi kami, ini bukan isu penting. Apa yang kerajaan perlu laksanakan pada masa sekarang ialah memperkasakan ekonomi rakyat terlebih dahulu. Bila rakyat ada duit, baru laksana program subsidi kepada golongan sasar.

“Kami mencadangkan supaya kerajaan perlu melaksana pengapungan ekonomi adil yang mana semua orang mendapat manfaat, bukan golongan B40 semata-mata,” katanya ketika dihubungi Utusan Online.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan kerajaan untuk melaksanakan pengapungan harga petrol RON95 bermula tahun depan, sekali gus menyaksikan pengguna bakal membeli petrol pada harga lebih tinggi.

Mengulas lanjut, Samsudin berkata, keputusan itu seoalah-olah mencetuskan suasana panik dan tidak mencerminkan hasrat kerajaan dalam membantu meningkatkan pendapatan rakyat.

“Apabila harga minyak naik, ia akan beri kesan kepada kenaikan harga barang. Kerajaan perlu mengambil kira juga golongan bukan B40 yang yang sebahagiannya menjadi penggerak ekononi namun terbeban dengan masalah hutang. Sumbangan golongan atas lebih tinggi berbanding B40 dan ini tidak adil.

“Kalau mereka tidak mampu membeli rumah dan banyak projek perumahan tidak terjual, ekonomi negara juga tidak berkembang. Bagi saya, jangan disentuh isu ini dalam masa terdekat sehingga poket rakyat berisi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, kos sara hidup rakyat dijangka akan lebih meningkat sekiranya harga minyak melambung naik akibat pengapungan harga petrol itu.

“Perlu diakui program subsidi petrol merupakan hasrat murni kerajaan dalam membantu golongan B40 namun sekiranya harga minyak mencecah kadar tinggi, ia bagaikan kurang memberi kesan apatah lagi bantuan tersebut diberi pada nilai yang rendah dan tetap iaitu RM30 dan RM12 sebulan,” katanya.

Sumber : Utusan Online

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.