Putrajaya tarik balik kuarantin di rumah pekerja pulang dari S’pura

single-image

Putrajaya telah menarik balik kelonggaran untuk membenarkan kuarantin rumah bagi pekerja rakyat Malaysia yang pulang untuk cuti jangka pendek di rumah di Malaysia di bawah perjanjian khas antara Malaysia dan Singapura.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dilaporkan berkata demikian selepas kejadian warga Malaysia yang pulang ke rumah di bawah perjanjian dua hala yang disebut sebagai Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dijangkiti Covid-19.

“Sejak itu pesakit tersebut telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Dengan demikian, mereka yang melakukan perjalanan di bawah PCA tidak lagi diizinkan untuk kuarantin di rumah tetapi sebaliknya perlu diletak di pusat kuarantin,” kata Dr Adham seperti dipetik The Star hari ini.

Skim PCA perjalanan rentas sempadan Malaysia dan Singapura yang dilaksanakan sejak 17 Ogos lepas, namun kata Adham bagi skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) pula tiada kes dilaporkan berlaku setakat ini.

Semalam, Dr Adham dipetik Bernama berkata individu yang disahkan positif itu merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 35 tahun dan bekerja di Singapura, yang pulang ke negara ini di bawah skim PCA pada 29 Ogos lepas.

Dr Adham berkata lelaki terbabit yang tidak bergejala didapati positif Covid-19 pada 2 Sept, telah dimasukkan ke sebuah hospital di negeri ini dan kini berada dalam keadaan stabil.

Beliau juga menjelaskan sejak 17 Ogos hingga hari ini, seramai 2,647 individu di bawah PCA dan 815 bagi RGL direkodkan memasuki negara ini dari Singapura.

Skim RGL dan PCA bertujuan menangani keperluan kumpulan berbeza yang melakukan perjalanan rentas sempadan di antara Malaysia dan Singapura.

Sementara itu, Dr Adham turut memaklumkan mereka yang pulang juga perlu membayar sendiri kos di pusat kuarantin.

Bagaimanapun, Adham tidak menjelaskan sekiranya terdapat sebarang perubahan dalam polisi membenarkan pengecualiaan kuarantin jika mereka diuji negatif.

Ini merupakan peruntukan khas di bawah PCA. Bagi mereka yang melakukan perjalanan biasa, mereka wajib kuarantin selama 14 hari walaupun diuji negatif.

Kepulangan di bawah skim PCA hanya boleh dilakukan pada setiap 90 hari.

Sumber : Malaysiakini.com

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.