Pusat Inkubator bantu usahawan muda

single-image

JOHOR BAHRU : Kerajaan Negeri Johor tidak pernah meminggirkan para usahawan kecil terutamanya belia yang menceburi bidang perniagaan.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, Kerajaan Negeri menerusi PIJ Holdings telah membangunkan pusat inkubator bagi memberi ruang kepada usahawan untuk menjalankan perniagaan mereka.

Beliau berkata, pusat inkubator seperti di Kompleks Pejabat dan Pusat Perniagaan PIJ Holdings di Stulang Baru menempatkan 43 unit lot ruang pejabat dan perniagaan dengan kadar sewa yang berpatutan.

“Kita menyedari jumlah tersebut, 43 unit tidak mampu untuk menampung keperluan usahawan di Johor Bahru. Justeru, ruang perniagaan yang disewakan diberikan tempoh tertentu.

“Kita berharap usahawan yang menyewa ruang perniagaan sedia ada dapat mengembangkan perniagaan dan memberi peluang kepada usahawan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengundian Terbuka Rumah Mampu Biaya C, Penyampaian Sijil Layak Memiliki Rumah Mampu Biaya B dan Penyampaian Sijil Layak Penyewaan Inkubator, Taman Perbadanan Islam Stulang Baru, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, YB Tuan Ayub Jamil dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, YB Dato’ Haji Azmi Rohani.

Undian terbuka tersebut turut disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook JohorFM dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (SUKJ) Bahagian Perumahan.

Sementara itu, Majlis Pengundian Terbuka Rumah Mampu Biaya C yang dijalankan melibatkan sebanyak 77 unit yang berharga RM150,000 bagi kouta awam Melayu.

Sebanyak 2,626 permohonan diterima bagi TPI Stulang Baru, namun hanya 378 permohonan yang layak serta melepasi syarat kelayakan, manakala 2,248 permohonan gagal memenuhi syarat.

Sumber : Makmur Johor

Leave a Comment

Your email address will not be published.