Pujian Chin Tong bukti kejayaan Hasni di Johor

single-image

Dalam satu kenyataan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong di laman sesawang miliknya (liewchintong.com) baru-baru ini telah memuji serta memberi penghargaan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Haji Hasni Mohammad kerana telah mentadbir dan mengurus negeri Johor dengan penuh berdedikasi.

Pujian ini merupakan satu penghormatan yang besar bagi Menteri Besar Johor apatah lagi baru beberapa bulan mengemudi negeri ini di kala rakyat dan negeri sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, kita sendiri sudah maklum bagaimana keadaan politik di Johor ini. Kadang kala bergelora dan ada masa juga seperti tsunami. Jadi pastinya bukan mudah untuk ‘musuh politik’ sendiri memberi pujian seperti ini. Apabila ‘musuh politik’ sendiri yang memberi pujian melambung seperti ini, ia bermaksud bahawa Datuk Haji Hasni Mohammad adalah sosok yang tepat untuk memegang jawatan sebagai Menteri Besar Johor dan mengemudi negeri ini ke arah yang lebih baik.

Malah kita juga perlu sedar, cabaran yang dilalui Datuk Haji Hasni Mohammad untuk mentadbir negeri Johor dalam situasi sekarang ini tidaklah sama seperti yang dilalui oleh Menteri Besar yang terdahulu. Apa yang dilakukan Datuk Haji Hasni Mohammad dalam beberapa bulan ini cukup memberi impak yang besar kepada rakyat terutamanya ekonomi di Johor.

Lebih-lebih lagi Belanjawan Johor 2021 yang baru dibentangkan juga dilihat mampu membuat rakyat menarik nafas lega. Banyak inisiatif yang disediakan kerajaan negeri Johor akan memberi manfaat kepada rakyat dari semua golongan di Johor ini.

Kejayaan Datuk Haji Hasni Mohammad bukan sahaja mampu dilihat oleh pembangkang tetapi ia juga sudah menjadi bualan ramai. Menerusi satu artikel di Utusan Malaysia yang bertajuk ‘Tak Salah Berjiwa Besar’. Dalam artikel berkenaan penulis memuji keberanian Datuk Haji Hasni Mohammad mengadakan taklimat dengan 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk wakil pembangkang. Katanya lagi ia belum pernah dilakukan oleh mana-mana Menteri Besar terdahulu.

Dalam masa yang sama juga, penulis turut memuji disebalik perjalanan DUN yang lancar merupakan hasil jiwa besar dan usaha yang dimainkan Menteri Besar Johor, Datuk Haji Hasni Mohammad untuk memastikan sistem demokrasi terus kukuh di samping semua wakil rakyat dapat memainkan peranan bersama-sama dalam membangunkan negeri.

Kesimpulannya, sikap tenang dan kebijaksanaan yang ditunjukkan oleh Menteri Besar Johor selama beberapa bulan mentadbir dan mengurus negeri ini patut dipuji oleh rata-rata masyarakat. Kita perlu akui Menteri Besar yang ada kini mampu membawa aspirasi rakyat Johor ke arah yang lebih tersusun dan baik pada masa akan datang.

Mohd Iqmal

Aktivis Muda Johor

Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorPress.

Leave a Comment

Your email address will not be published.