PRU-15:UMNO atau DAP yang musnah?

single-image

JOHOR BAHRU : Sama ada UMNO atau DAP yang akan musnah dalam arena politik hanya diketahui apabila Parlimen dibubarkan dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan secepat mungkin.

Justeru Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd. Hairi Mad Shah meminta Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi membolehkan Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan PRU-15.

Jelas beliau, PRU-15 akan membuktikan parti mana yang akan lenyap berdasarkan prestasi semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan sumbangan terdahulu yang dibuat UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Rakyat sedar akan sumbangan besar BN kepada negara sejak dari kemerdekaan sehinggalah BN tumbang dan rakyat juga yakin bahawa UMNO bukan parti rasis tetapi berjaya menyatukan pelbagai kaum di bawah BN.

“Berbanding DAP, apa yang rakyat boleh banggakan selain daripada meniup sentimen kebencian antara kaum bagi mencapai matlamat politiknya,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Beliau mengulas tulisan Penasihat DAP, Lim Kit Siang disiarkan dalam sebuah portal pro pembangkang tajaan Yahudi yang

menyarankan kerajaan supaya tidak mengharamkan UMNO dan biarkan saja parti itu musnah dengan sendirinya.

Mohd. Hairi berkata, Kit Siang perlu sedar UMNO tidak akan musnah seperti mana diharapkan malah boleh katakan dengan yakin bahawa kini parti tersebut semakin kuat dan utuh.

“Untuk pengetahuan Lim Kit Siang, sokongan rakyat kepada UMNO semakin kuat, jumlah keahlian UMNO semakin meningkat setiap bulan. Rakyat sudah muak dan bosan dengan permainan politik DAP yang bersifat perkauman.

“Orang Melayu dan bumiputera bersatu teguh di bawah panji perjuangan UMNO yang sememangnya terbukti memperjuangkan agama dan tanah air sejak lebih 60 tahun. Begitu juga sokongan rakyat semakin padu apabila UMNO dan Pas menjalinkan taawun siyasi,” katanya.

Hakikatnya kata beliau, PH khususnya DAP agak gusar dengan kerjasama UMNO-Pas apabila sedar akan kekuatan orang Melayu selaku kaum dominan akan bertambah utuh dan menjadi ancaman kepada mereka dalam PRU-15 nanti.

“Untuk pengetahuan apek Lim Kit Siang, rakyat sudah bosan dan marah dengan janji haprak PH yang hanya sekadar penipuan untuk menumbangkan BN,” ujarnya.

Jelasnya, ini kerana kos sara hidup semakin tinggi, harga barang tidak turun, harga minyak tidak berubah, tol belum lagi dihapuskan, tiada peluang pekerjaan untuk anak muda, nilai matawang terus menjunam dan akhirnya manifesto diisytihar bukan kitab suci yang perlu dipatuhi.

Rakyat mahu perutnya terisi, namun katanya, harga komiditi sawit terus merudum dan pelabur mula angkat kaki manakala anak Kit Siang yang menjadi Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terbukti gagal membangunkan ekonomi negara.

Menteri Kewangan hanya pandai menjual aset negara yang telah sekian lama dikumpul pentadbiran BN selama ini, dakwanya.

“Hutang negara semakin meningkat dan impian untuk melihat hutang negara mencapai RM1 Trilion telah berjaya dibuktikan kepemimpinan PH yang dikuasai DAP,” katanya. 

Sumber : Utusan Online

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.