Projek RTS Link Johor Bahru-Singapura perlu tepati jadual

single-image

Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menerima mengadap Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Mohd Zarif Mohd Hashim, hari ini, di Istana Flintstones, Mersing.

Dalam muat naik di akaun Facebook rasmi Sultan Johor, Ka Siong dan Mohd Zarif dilaporkan mempersembahkan kepada baginda berhubung laporan terkini projek Sistem Transit Rapid (RTS).

Sultan Ibrahim bertitah, baginda saling berkongsi beberapa pandangan mengenai kemajuan projek bersama Ka Siong dan Mohd Zarif.

“Saya amat menghargai kehadiran kedua-dua mereka untuk menyampaikan taklimat mengenai projek berkenaan sehingga datang ke Johor walaupun mempunyai jadual kerja yang padat.

“Saya turut menekankan bahawa projek ini perlu berjalan secara lancar dengan menepati jadual pembinaannya,” titah baginda.

Pada 22 November lalu, Sultan Johor berkenan menyempurnakan majlis pecah tanah RTS Link yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura.

Majlis pecah tanah berlangsung di tapak projek akan datang bangunan Imigresen, Kastam dan Kuarantin di Bukit Chagar dengan disaksikan Sultan Ibrahim secara maya dari Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda.

Pelaksanaan projek RTS Link itu, bukan sahaja akan memberikan manfaat dari segi sosio-ekonomi, malah bakal mengubah landskap pengangkutan awam di Johor, selain terus mengeratkan hubungan dengan Singapura.

RTS Link adalah sistem transit aliran ringan pertama yang dibina di Johor Bahru, yang mana Johor menjadi pintu masuk utama di selatan negara.

Ia merangkumi pembinaan laluan sepanjang empat kilometer menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands di Singapura.

RTS Link dijangka beroperasi pada penghujung 2026.

Sumber : Harian Metro

Leave a Comment

Your email address will not be published.