PPBM perlu selesaikan masalah identiti segera.

single-image

Selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berjaya keluar dari cengkaman Pakatan Harapan, pelbagai cakap-cakap tersebar luas mengenai hala tuju sebenar parti itu dalam arena politik negara. Sudah jelas lagi bersuluh, pemimpin-pemimpin PPBM ketika ini tidak mempunyai arah kiblat yang sama. Satu kumpulan ke kanan dan satu kumpulan lagi ke kiri. 

Krisis identiti ini yang perlu diselesaikan oleh PPBM dalam masa terdekat sebelum parti ini melangkah lebih jauh lagi dan menjadi toksik dalam kerajaan. Masalah ini timbul apabila tiada  pemimpin PPBM yang mampu bersuara dengan jelas mengenai identiti PPBM yang sebenarnya.

Oleh hal yang demikian, PPBM perlu jelaskan kepada semua apakah sebenarnya pendirian PPBM sama ada terus menjadi kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN) atau pembangkang? Jika memilih untuk berada di blok kerajaan, PPBM perlu mengambil tindakan kepada ahli PPBM  termasuk Tun Mahathir sendiri yang seolah-olah obses untuk menjadi pembangkang. 

Memandangkan Dr Maszlee Malik pun sudah bersuara mengenai hala tuju PPBM. Jadi inilah masa yang tepat untuk pemimpin PPBM memberi penjelasan dan menjawab segala persoalan yang timbul khususnya mengenai krisis identiti ini. Pada dasarnya, perkara ini sangat tidak masuk akal, mana mungkin satu parti berada di blok kerajaan dan blok pembangkang dalam masa yang sama?

Perlu ingat, Yang di-Pertuan Agong sudah menitah supaya ahli-ahli politik tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu. Jadi harapnya, pemimpin PPBM dapat memahami situasi ini. Mahu atau tidak krisis identiti ini perlu diselesaikan sebelum memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani oleh semua parti dalam Perikatan Nasional. 

Sekian, 

Sofia Ahmad Dani
Aktivis Muda Johor

Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorPress.

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.