Potong kuota lot industri bumiputera : rakyat persoal kerajaan negeri Johor.

single-image

Baru-baru ini, Exco Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse ada mengeluarkan satu kenyataan berkenaan dengan persetujuan kerajaan negeri Johor untuk mengurangkan kuota dari 40 peratus sebelum ini kepada 30 peratus bermula Februari. Dengan pengumuman ini, dilihat rata-rata rakyat Johor tidak berpuas hati.

Ini kerana keputusan dan tindakan ini benar-benar memberi impak yang besar kepada pemain industri bumiputera malah ia dilihat satu keputusan yang sangat terburu-buru. Apatah lagi, kenyataan ini dikeluarkan pada bulan Mac jadi ini bermakna secara senyap-senyap kerajaan negeri Johor sudahpun membuat potongan kuota ini tanpa pengetahuan semua pihak.

Persoalannya kini, kenapa perlu kuota lot bumiputera yang ingin dirobek dan ditarah? Kenapa bukan kuota lot bukan bumiputera yang lain?

Sedar atau tidak lot bumiputera diwujudkan bagi menjaga pemilikan hartanah untuk membentuk semula pola kependudukan rakyat Malaysia selepas 13 Mei 1969 yang digelar sebagai proses rekayasa sosial.

Tetapi jika kita lihat selepas Johor jatuh ke tangan kerajaan Pakatan Harapan sedikit demi sedikit hartanah dan peluang perniagaan bumiputera terhakis dan pada akhirnya ia bakal berpindah tangan. Salah satunya adalah dengan cara memotong 10 peratus kuota lot industri bumiputera di Johor.

Alasan yang diberikan oleh kerajaan negeri Johor adalah hanya kerana lot industri bumiputera tidak terjual. Sepatutnya sebelum membuat keputusan memotong 10 peratus kuota tersebut kerajaan negeri perlu memikirkan cara atau langkah bagaimana untuk atasi masalah ini. Bukannya secara drastik membuat keputusan untuk mengurangkan kuota lot industri bumi bumiputera.

Setidak-tidaknya, kerajaan negeri Johor sendiri boleh mencari inisiatif tertentu untuk membantu pemain industri bumiputera ini untuk membeli lot tersebut. Mungkin dengan memberikan mereka bantuan, diskaun atau apa sahaja cara yang boleh membantu pemain industri bumiputera ini membeli lot tersebut.

Jangan dek kerana golongan bumiputera tidak mampu untuk membelinya, kerajaan negeri Johor boleh sesuka hati kurangkan kuota lot industri bumiputera. Jika beginilah, agak-agaknya bagaimana nasib pemain industri bumiputera pada masa akan datang? Adakah generasi akan datang sempat merasakan lagi kuota lot industri yang dikhaskan kepada bumiputera? Fikir-fikirkanlah.

Jangan sampai kuota lot industri bumiputera diturunkan sedikit demi sedikit baru ada pihak yang ingin bersuara. Jadi sebelum perkara ini semakin parah dan hak bumiputera terus ditekan ada baiknya pemain-pemain industri bumiputera bertindak dengan sewajarnya untuk menuntut kembali 10 peratus kuota yang telah dipotong oleh kerajaan negeri Johor.

Dhia Hani merupakan Ahli Persatuan Pemikir Muda Johor. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorPress

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.