Polis, tentera periksa kenderaan di parkir ketika Aidilfitri

single-image

KUALA LUMPUR: Pasukan pemantau akan memeriksa kenderaan diparkir di luar kediaman di kawasan perumahan dan kampung ketika Aidilfitri bagi mengesan mereka yang melakukan perjalanan tanpa kebenaran.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata pasukan terdiri daripada pegawai dan anggota polis serta tentera itu akan memeriksa nombor pendaftaran kenderaan, terutama jika ada banyak yang diparkir di luar rumah atau dalam kawasan perumahan.

“Kami akan memeriksa semula nombor pendaftaran dengan senarai kami dan melihat sama ada kenderaan dan pemiliknya dibenarkan untuk perjalanan antara negeri atau tidak.

“Sekiranya kami mengetahui ada pihak melanggar perintah larangan perjalanan rentas negeri, kami akan menahan pemilik kenderaan,” katanya ketika dihubungi.

Noor Azam berkata, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pelakunya kerana masa untuk amaran sudah berakhir.

“Tindakan akan diambil bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

“Tidak ada lagi amaran atau nasihat. Kami akan menahan mereka yang melanggar perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dengan melakukan perjalanan tanpa izin,” katanya.

Noor Azam berkata, polis Selangor bersedia melaksanakan tugas mengesan mereka yang melakukan perjalanan rentas negeri tanpa kebenaran.

“Kami juga melakukan sekatan jalan raya (SJR) di lokasi strategik bagi mengesan mereka yang berusaha menipu pihak berkuasa untuk pulang ke kampung.

“Mereka yang tidak mempunyai kebenaran diperlukan untuk membuat perjalanan antara negeri akan diarahkan berpatah balik,” katanya.

Selain itu, Noor Azam turut mengingatkan umat Islam di Selangor mengenai had perhimpunan tidak melebihi 20 orang pada hari pertama sambutan Aidilfitri.

“Yang terbaik ialah hanya meraikan dengan ahli keluarga terdekat atau mengadakan sambutan secara kecil-kecilan,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.