PLBEGJB dijangka siap Oktober 2022

single-image

PROJEK Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2022.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, PLBEGJB dibina dengan kos RM9.55 bilion yang juga antara projek infrastruktur terbesar negara itu mengalami kelewatan 1.6 peratus berbanding jadual asalnya.

Katanya, pada awalnya PLBEGJB dijangka siap pada 2021 namun berikutan isu pengambilan semula tanah yang perlu diselesaikan selain penularan wabak Covid-19 pada Mac lalu menyebabkan pembinaannya tertangguh.

“Setakat ini PLBEGJB masih kekal dengan kos asal walaupun berlaku 1.6 peratus kelewatan daripada jadual asal.

“PLBEGJB kini sudah siap 60 peratus pembinaannya dan kerajaan yakin ia akan selesai sepenuhnya pada Oktober 2022.

“Apabila projek ini siap nanti, ia akan melengkapkan laluan landasan berkembar di kawasan pantai barat Malaysia sekali gus menjadi pemangkin pembangunan kawasan yang dilaluinya seperti apa yang dinikmati penduduk di laluan Kuala Lumpur, Ipoh dan Padang Besar, Perlis,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek PLBEGJB di Stesen Keretapi Kulai, hari ini.

PLBEGJB sepanjang 192 kilometer itu akan melalui 11 stesen dengan kelajuan tren berkuasa 25,000 voltan dan akan bergerak selaju 140 kilometer sejam dengan anggaran masa perjalanan dari KL Sentral ke JB Sentral adalah 3 jam 30 minit.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, kerajaan akan menyusun semula pelan Rancangan Malaysia ke-12 yang mengambil kira penularan Covid-19 yang menyebabkan pertumbuhan ekonomi negara dan dunia menjadi perlahan.

“Penambahbaikan sedang berjalan dengan proses libat urus membabitkan kementerian, EPU dan kerajaan negeri dan ia dijangka akan dimuktamadkan tiga minggu lagi sebelum dibentangkan,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.