PKPB seluruh Semenanjung kecuali Perlis, Pahang, Kelantan

single-image

Kuala Lumpur: Semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama sebulan bermula 9 November hingga 6 Disember depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, negeri yang terbabit ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPB ini juga akan meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah yang sepatutnya berakhir 9 November ini.

Katanya, langkah itu diputuskan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini selepas mendengar pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung kes Covid-19 di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.

“KKM sudah melaksanakan penilaian risiko dan mendapati terdapat peningkatan ketara bilangan jangkitan Covid-19 dan kadar kebolehjangkitan di negeri berkenaan.

“Atas nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPB di negeri berkenaan berkuat kuasa selama empat minggu bermula 9 November hingga 6 Disember,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPB membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar dan mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti, di samping untuk mengekang penularan Covid-19 di negeri berkenaan.

“Bagi Kelantan, Pahang dan Perlis, yang kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pergerakan rentas negeri juga adalah tidak dibenarkan.

“Bagaimanapun, pergerakan rentas daerah di dalam ketiga-tiga negeri ini dibenarkan seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, katanya, bagi negeri Sarawak, pergerakan rentas negeri dari Semenanjung, Sabah dan Labuan tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun, katanya, pergerakan rentas daerah dalam negeri Sarawak dibenarkan kecuali ke daerah Kuching.

“Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah sama seperti diumum dan dilaksanakan dalam PKPB sebelum ini. Kita nak kurangkan pergerakan dari kawasan negeri dan daerah supaya tiada jangkitan berlaku terutamanya di daerah yang berlaku peningkatan kes.

“Oleh itu pergerakan keluar masuk merentas daerah dan negeri tidak dibenarkan kecuali kes kecemasan yang perlu mendapatkan kebenaran daripada PDRM.

“Untuk mendapatkan kebenaran PDRM ini, cetak borang melalui Facebook PDRM, kemudian pergilah ke balai polis untuk mendapatkan tandatangan dan cop supaya tak perlu beratur di balai polis untuk dapatkan borang itu,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Leave a Comment

Your email address will not be published.