PKPB: Bekalan makanan dijamin mencukupi

single-image

JOHOR BAHRU – Tiada jaminan peningkatan harga barangan tidak akan berlaku di pasaran menjelang sambutan Deepavali walaupun bekalan barangan keperluan mencukupi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini.

Exco Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri (PDNHEP), Dr Chong Fat Full berkata, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali dilaksanakan bagi memastikan harga barangan terkawal di pasaran.

Menurutnya, kementerian telah mengenalpasti 20 jenis barangan antaranya ayam, telur ayam, daging kambing, kelapa, kelapa parut, timun dan kacang panjang diletakkan di bawah harga maksimum SHMMP.

“Penentuan harga maksimum pengeluar, pemborong dan peruncit dibuat mengikut kewajaran serta kesesuaian bagi penguatkuasaan kawalan harga yang lebih berkesan.

“Bagi membendung kenaikan harga yang tidak munasabah, tindakan pengeluaran notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan secara mendadak dan ketara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Fat Full berkata, pegawai penguatkuasa KPDNHEP negeri akan meningkatkan pemeriksaan serta pemantauan di lokasi tumpuan pembeli seperti di pasar awam, pasar tani dan pasaraya bagi memastikan bekalan barangan adalah mencukupi serta harga di pasaran adalah berpatutan.

“Pengguna juga digalakkan untuk membeli barangan keperluan secara atas talian menerusi Program Jualan Makmur Johor (JMJ), program kerjasama antara kerajaan negeri dengan syarikat Shopee.

“JMJ ini memberi peluang kepada rakyat untuk membeli barang keperluan asas dan harian pada harga yang lebih rendah dan berpatutan. Dengan setiap pembelian minima RM60, pengguna akan menerima rebat sebanyak RM20 dan penghantaran adalah percuma,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published.