PH Johor sahkan Osman jumpa pemimpin Amanah

single-image

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor Aminolhuda Hassan, mengesahkan bahawa Adun Kempas Osman Sapian mengadakan pertemuan bersama seorang pemimpin Amanah baru-baru ini.

Bagaimanapun, Aminolhuda enggan mengulas lanjut berhubung perjumpaan tersebut.

“Apa butiran pertemuan, saya tidak boleh komen. Bagaimanapun, saya boleh maklumkan ia berlaku baru-baru ini dengan seorang pemimpin Amanah.

“Pemimpin Amanah dan Osman adalah duduk berbincang sikit,” katanya seperti dipetik portal BH Online semalam.

Baru-baru ini tular video yang menunjukkan Osman – yang juga merupakan bekas menteri Johor – dipercayai sedang berucap berkempen menyokong calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi ketika di pilihan raya kecil (PRK) DUN Slim.

Bagaimanapun, Osman mendakwa kehadirannya di Slim, Perak sekadar untuk bertemu rakan lama sambil makan angin dan menegaskan tindakan beliau itu tiada kaitan dengan politik.

Sementara itu, Aminolhuda menambah, sekiranya Osman memilih untuk bersama PH, kerusi pada sidang DUN negeri itu akan tergantung.

“Ia akan menyebabkan jumlah kerusi diperoleh PH dengan Perikatan Nasional (PN) terikat kepada 28 kerusi.

“Oleh itu, kami mempelawa beberapa Adun PN yang sebelum ini bersama PH untuk kembali bersama kami (PH) untuk mengekalkan mandat rakyat ketika pilihan raya umum (PRU) lalu,” kata Adun Parit Yaani itu.

DUN Johor memiliki 56 kerusi dengan agihan terkininya ialah Umno dan DAP masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (dua), PAS (satu), Amanah (9) dan PKR (empat).

Ia menjadikan kerajaan PN mempunyai 29 kerusi berbanding PH 27 kerusi, manakala majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu di Johor ialah 29 kerusi.

Untuk rekod, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi amaran untuk membubarkan dewan undangan negeri – bagi membolehkan pilihan raya baru diadakan – jika perebutan kuasa berlaku.

Sumber : Malaysiakini.com

Leave a Comment

Your email address will not be published.