Pesanan buat Menteri Besar Johor yang baharu 

single-image


Terdahulu kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YB Bukit Kepong merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian, Dr Sahruddin Jamal kerana dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang ke-17 menggantikan Dato Osman Sapian yang hanya berkhidmat selama hampir 11 bulan sahaja.

Sesungguhnya, kami sebagai rakyat Johor semestinya gembira kerana Johor kembali ditadbir oleh sosok yang berkredibiliti seperti YB Dr Sahruddin Malah lebih muda dan cergas. Jadi kami mengharapkan YB Dr Sahruddin dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab ini dengan sebaiknya dan telus dalam segala hal yang melibatkan negeri Johor khususnya rakyat Johor.

kami juga ingin menggunakan kesempatan ini untuk mengingatkan YB Dr Sahruddin bahawa menjadi Menteri Besar di Johor ini tidak sama seperti mana menjadi Menteri Besar di negeri lain. Harus diingatkan bahawa negeri Johor ini mempunyai Sultan yang berdaulat yang sentiasa dibanggakan oleh seluruh rakyat Johor.

Malah negeri Johor turut mempunyai caranya tersendiri seperti slogan yang sering dilaungkan oleh DYMM Sultan Johor ‘JOHOR MESTI SENTIASA JADI JOHOR’. Justeru itu kami yakin YB Dr Sahruddin sebagai anak jati Johor pastinya memahami sedalam-dalamnya slogan ini.  

Makna kata, apa-apa sahaja bentuk keputusan yang bakal dibuat kelak janganlah sesekali membelakangkan Sultan dan istana Johor. Paling penting sekali, YB Dr Sahruddin sebagai Menteri Besar Johor mestilah menimbang baik dan buruk setiap keputusan yang diambil lebih-lebih lagi soal  rakyat. 

Untuk langkah pertama ini, seperti mana yang telah dititahkan DYMM Sultan Johor, YB Dr Sahruddin perlu melakukan penstrukturan semula barisan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri dengan sebaik-baiknya. Buatlah keputusan sebaik-baiknya demi pembangunan negeri Johor ini.

Dalam pada itu, selagi mana tidak bertentangan dengan undang-undang, YB Dr Sahruddin sebagai Menteri Besar Johor perlu menerima segala teguran dan kritikan daripada rakyat mahupun istana Johor. 

Malah diingatkan juga janganlah menjadi Menteri Besar yang sekadar  untuk mengikut segala telunjuk dari Putrajaya. Ini kerana Johor harus dibangunkan dengan cara tersendiri dan lebih beridentiti bukannya dikawal dari Putrajaya.

Lebih pentingnya lagi, kami berharap YB Dr Sahruddin akan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat melebihi segala hal. Jadilah Menteri Besar yang mampu menyelesaikan kepincangan dan masalah pembangunan serta kebajikan yang diperlukan oleh rakyat. 

Bukannya terikut-ikut seperti sesetengah YB yang lain walaupun sudah menang tetapi sehingga kini masih sibuk ingin berpolitik. Pada akhirnya ia akan memberi impak kepada rakyat kerana diabaikan dan disisihkan oleh pemimpin yang masih sibuk dengan politik toksik. 

Akhir sekali, pastikan YB Dr Sahruddin dapat menjadi Menteri Besar Johor yang boleh dijadikan contoh dan teladan yang baik untuk semua rakyat. Ini kerana kami khuatir jika apa yang berlaku pada Osman Sapian, boleh turut berlaku kepada YB Dr Sahruddin jika gagal memerintah dan pembangunkan negeri ini sebaiknya.

Jadi kami sebagai rakyat Johor akan terus memastikan Menteri Besar Johor dan kerajaan negeri Johor dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh amanah kepada rakyat Johor. 

Dhia Hani merupakan Ahli Persatuan Pemikir Muda Johor. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorPress

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.