Persatuan hiburan terkejut kenyataan PM tentang kelab malam

single-image

Persekutuan Industri Hiburan Malaysia menyatakan rasa terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkaitan penutupan kelab malam dan pub baru-baru ini.

Presidennya Liew Poon Siak menganggap kenyataan itu sebagai satu tamparan memandang bar dan pub sedang bertahan selepas tidak dibenarkan beroperasi sejak Mac susulan Covid-19.

“Jika penjarakan fizikal menjadi puncanya, perhimpunan awam, keagamaan dan politik juga patut diharamkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin dalam Konvensyen Perikatan Nasional (PN) di ibu negara kelmarin berkata sambil tersenyum:

“Ekonomi negara kita sedang pun menunjukkan tanda-tanda pemulihan setelah hampir semua sektor ekonomi dibuka semula. 

“Yang tak buka hanya kelab malam pub-pub. Saya fikir kalau tak buka selama-lamanya pun bagus juga kot.”

Dia memberi alasan susah hendak mengamalkan penjarakan sosial jika perkara itu dibenarkan.

Malaysiakini sudah menghubungi Pejabat Perdana Menteri bagi mendapatkan penjelasan berkaitan perkara itu.

Sementara itu, menegaskan mereka tidak menentang perintah kawalan pergerakan (PKP), Liew berharap kerajaan akan membenarkan mereka beroperasi semula secara bersyarat.

“Oleh itu, persekutuan mendesak perdana menteri menarik balik kenyataannya dan menunjukkan keprihatinannya terhadap keadaan kami,” katanya.

Sumber : Malaysiakini.com

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.