Perniagaan di Johor Bahru terjejas teruk akibat larangan perjalanan

single-image

JOHOR BAHRU: Perniagaan di Johor Bahru terjejas teruk tanpa sokongan yang biasanya diterima dari rakyat Singapura atau Malaysia yang pulang dari republik itu disebabkan oleh kawalan sempadan lebih ketat kerana pandemik COVID-19, menurut beberapa kumpulan perdagangan.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa hampir 50 peratus daripada hasil perniagaan mereka adalah dari rakyat Singapura atau warga tempatan yang tinggal di sana, namun aturan perjalanan lebih ketat yang dilaksanakan oleh kedua-dua negara memaksa banyak perniagaan untuk menggulung tikar.

Malaysia menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu sementara Singapura menguatkuasakan tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 pada 7 Apr.

Dengan sempadan antara kedua-dua negara ditutup selama beberapa bulan, sekitar 400,000 hingga 500,000 rakyat Malaysia dan Singapura yang berulang-alik antara kedua-dua negara untuk bekerja, tidak lagi datang ke Johor Bahru.

Meskipun perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan di Malaysia dan ekonomi sudah dibuka secara bertahap-tahap selama lebih tiga bulan sekarang, ekonomi Johor Bahru masih lemah, katanya.

Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Cina Johor Bahru Low Kueck Shin berkata banyak perniagaan utama di bandar itu bergantung kepada rakyat Singapura atau warga tempatan yang pulang dari seberang, dengan kedua-dua kumpulan itu membentuk antara 30 peratus dengan 50 peratus daripada keseluruhan hasil dapatan.

“Sebelum ini mereka menyeberangi sempadan setiap hari, kadang kala membawa anak-anak dan keluarga mereka pada hujung minggu untuk bersiar-siar dan membeli-belah.

“Kini kami kehilangan kesemua pelanggan itu, pasaran sudah kehilangan sebilangan besar pengunjung, menyebabkan kerugian sehingga 70 peratus,” kata Encik Low.

Sektor makanan dan minuman serta hiburan adalah yang paling teruk terjejas, dengan anggaran 40 peratus tempat hiburan, kelab malam dan kedai urut terpaksa gulung tikar, katanya.

“Kedai-kedai kopi tradisional di Johor Bahru dahulu menikmati perniagaan yang baik dan mereka biasanya akan mula beroperasi pada siang hari. Sekarang, anda melihat hampir tiada sesiapa di sana.”

Pengerusi Persatuan Pengendali Kafe dan Bar Johor Bahru Cheng Sin Ai memberitahu The Malaysian Insight bahawa sekitar 40 hingga 50 peratus daripada 300 anggota persatuan berkenaan tidak dapat dihubungi sejak pandemik bermula.

“Kami tidak tahu jika mereka tutup perniagaan buat sementara waktu atau secara tetap, persatuan kami akan terus menghubungi mereka untuk memahami keadaan mereka dengan lebih baik,” katanya.

Encik Cheng berkata perniagaan di kedai-kedai kopi tradisional tidak begitu bertambah baik selepas PKPP bermula dan beliau percaya ramai daripada ahlinya akan terpaksa menutup restoran mereka.

“Semuanya berharap bahawa sempadan akan dibuka semula sepenuhnya selepas 31 Ogos dan perniagaan akan bertambah baik, namun setelah perdana menteri mengumumkan lanjutan tempoh PKPP (hingga 31 Disember), segala harapan untuk berkumpul kembali punah sama sekali.”

Banyak perniagaan kehilangan 50 peratus daripada pendapatan mereka disebabkan oleh penutupan sempadan dan hanya bergantung kepada perniagaan makanan mereka, katanya.

“Mereka akan lebih sukar untuk bertahan selepas ini, selain daripada perlu mengurangkan jumlah pekerja, para pengendali perlu menjalankan sebahagian pekerjaan sendiri.

“Jika perniagaan tidak dapat bertahan, mereka akan terpaksa gulung tikar, menyebabkan satu lagi gelombang penutupan.”

Encik Cheng berkata selagi sempadan mereka tidak dibuka semula, perniagaan-perniagaan selain daripada kedai kopi tradisional turut akan terjejas.

“Pusat bandar Johor Bahru sebelum ini tempat popular untuk membeli-belah, namun ia lengang sekarang. Semua jenis perniagaan runcit terjejas kerana tiada perniagaan tanpa pengunjung.

“Semasa setiap musim percutian sebelum ini, terdapat banyak kereta di sekitar kawasan pusat bandar itu, namun kini semuanya sunyi.”

Encik Low berkata meskipun seluruh negara terjejas oleh pandemik iti, Johor Bahru mungkin paling teruk terjejas kerana hampir 50 peratus daripada kesemua perniagaan datang daripada rakyat Singapura atau Malaysia yang tinggal di sana.

Encik Cheng juga berkata perniagaan di luar kawasan Johor Bahru, seperti di kawasan Johor Jaya adalah lebih baik kerana ia bergantung kepada penduduk tempatan.

Agensi berita/HA/ha

https://berita.mediacorp.sg/mobilem/eksklusif/corona-outbreak/perniagaan-di-johor-bahru-terjejas-teruk-akibat-larangan/4502534.html

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.