Perlu perkasakan semangat perpaduan

single-image

“TIDAK ramai yang menyedari bahawa kemerdekaan negara yang dikecapi sejak 63 tahun lalu adalah berpegang kepada semangat perpaduan sebagai asas kekuatannya,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menurutnya, tanpa semangat itu, tidak mungkin negara mampu untuk berada dalam keadaan seperti ini apatah lagi dengan keadaan rakyat yang berbilang kaum dan agama.

“Bersempena dengan kemerdekaan ini, semangat perpaduan seperti ini harus diperkasakan lagi khususnya kepada golongan anak-anak muda yang satu masa nanti menjadi tonggak kepimpinan negara.

“Golongan belia dan anak muda harus memahami untuk mencapai kemerdekaan bukan mudah dan semangat perpaduan dikalangan rakyat ketika itu menjadi asas untuk diberikan kebebasan daripada penjajahan.

“Oleh yang demikian, sama-sama kita pelihara semangat ini supaya terus kekal dan negara kita terus makmur dan membangun seiring dengan kemajuan dunia masa kini.

“Kita juga merasa bertuah, walaupun terkekang dengan wabak Covid-19 namun rakyat masih melakukan aktiviti harian mereka dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti disarankan oleh kerajaan,”katanya.

Onn Hafiz berkata demikian selepas merasmikan Program Youth Volunteer Platform XTIF Johor peringkat Daerah Kluang di Laman Simpang Renggam, hari ini.

Hadir sama adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Abdul Taib Abu Bakar, Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu dan Yang Dipertua Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) Mohamad Sukry Abd Rahim.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, program Youth Volunteer ini dilaksanakan serentak di semua daerah dalam negeri Johor sebagai usaha pihaknya untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan negara yang disambut dengan norma baharu hari ini.

Sumber : Harian Metro

Leave a Comment

Your email address will not be published.