Perhimpunan Agung UMNO 2020 jadi tumpuan

single-image

KUALA LUMPUR: Hari ini akan berlangsung Perhimpunan Agung UMNO 2020, satu perhimpunan penting buat parti yang merupakan antara terbesar dan tertua di negara ini, dalam menentukan hala tujunya menghadapi cabaran politik kini serta Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ia bermula dengan acara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa yang dijadualkan pada jam 7.30 pagi.

Seperti kelaziman, acara menaikkan bendera dilakukan di Plaza Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) dan akan disusuli pemeriksaan barisan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menyaksikan ia buat kali pertama berlangsung dalam suasana norma baharu berikutan pandemik COVID-19.

Selepas itu, perasmian persidangan oleh Ahmad Zahid bakal berlangsung pada jam 9 pagi di Dewan Merdeka, dengan menghimpunkan perwakilan daripada 190 bahagian di seluruh negara kecuali Sarawak secara hibrid.

Ia kemudian diikuti sesi perbahasan dan diakhiri dengan sesi penggulungan.

Acara bagi Perhimpunan Agung UMNO 2020 diadakan selama dua hari bermula semalam, selepas setahun ditangguhkan susulan pandemik COVID-19.

Semalam, berlangsung perasmian serentak dan persidangan tiga sayap, Wanita, Pemuda dan Puteri yang menyaksikan pemantauan ketat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM).

Perhimpunan edisi kali ini juga berjalan dalam keadaan sederhana tanpa sambutan besar-besaran seperti lazim dan kibaran bendera UMNO ‘Sang Saka Bangsa’ di sepanjang jalan utama di Kuala Lumpur seperti tahun-tahun sebelumnya. Sumber daripada BERNAMA

Leave a Comment

Your email address will not be published.