Percepatkan naik taraf kemudahan awam Johor

single-image

JOHOR BAHRU: Kerajaan diminta mempercepatkan peningkatan kemudahan awam di Johor merangkumi pembinaan hospital baharu juga menaik taraf hospital sedia ada demi kepentingan rakyat.

Permintaan itu dimuat naik Tuanku Mahkota Johor, Tuanku Ismail Sultan Ibrahim dalam akaun Facebook rasmi, malam tadi.

“Sudah empat tahun Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Idris Shah termasuk saya menyatakan keperluan untuk membina hospital yang baharu dan menaik taraf hospital yang sedia ada di Johor.

“Sampai bila negeri Johor dan anak-anak Johor dianaktirikan?

“Kita bukan sahaja boleh melihat daripada sudut keperluan hospital, tetapi lihat pada keadaan lebuh raya di sini sahaja kita sudah tahu negeri Johor dianaktirikan.

“Bayangkan, Johor yang maju, banyak memberi sumbangan kepada ekonomi negara dan Kerajaan Persekutuan hanya ada dua laluan sahaja di lebuh raya berbanding dengan Melaka dan Negeri Sembilan yang tidak menyumbang seberapa banyak.

“Saya menyeru kepada Kerajaan Malaysia supaya mempercepatkan peningkatan kemudahan awam di negeri Johor demi rakyat,” titah Tunku Ismail.

Semalam, Wad Perubatan Perempuan 1 Hospital Sultanah Aminah (HSA) dilaporkan terbakar sekitar jam 3, namun ia tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan serius.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor tiba di tempat kejadian pada kira-kira jam 3.13 petang dan kebakaran berjaya dipadamkan lima minit kemudian dengan pesakit dan waris dipindahkan ke lokasi lain di HSA untuk sementara waktu atas faktor keselamatan.

Sumber : Berita Harian

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.