Perangi penyalahgunaan dadah sehingga akar umbi

single-image

PONTIAN : Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad meminta semua pihak bekerjasama membanteras dan memerangi penyalahgunaan dadah sehingga ke peringkat akar umbi.

Malah, minggu lepas beliau telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Peringkat Negeri Johor bagi mencari pendekatan terbaik membanteras masalah tersebut.

“Saya akan terus beri kerjasama kepada negeri dan pimpinan daerah agar program pencegahan terhadap dadah ini berkesan seperti mana yang kita harapkan. 

“Saya berharap akan ada lebih banyak lagi aktiviti, program atau jerayawara yang disusun bagi mendekati golongan belia dan mampu menyampaikan mesej mengenai bahaya ancaman dadah kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan program Community Empowerment ‘Belia Pemangkin Masa Hadapan Negara’ di Dewan Serbaguna, di sini hari ini.

YAB Menteri Besar berkata, isu pelencongan sosial seperti merempit, ponteng sekolah dan melepak yang  semakin meningkat turut dikenal pasti menjadi salah satu punca penyalahgunaan dadah dan jenayah lain, khususnya dalam kalangan remaja dan belia. 

“Oleh itu, di Johor, melalui agensi-agensi orang muda seperti Johor Youth Development Centre (Joydec), Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) dan Institut Integriti Kepimpinan dan Latihan Semangat Dato’ Onn (IKLAS), mereka akan menganjurkan lebih banyak program yang memanfaatkan potensi Orang Muda Johor atau ‘OMJ’,” katanya.

Pusat-pusat pertemuan atau kawasan yang membolehkan golongan belia berkumpul dan mengisi masa mereka dengan aktiviti riadah atau aktiviti bermanfaat yang lain juga perlu diperbanyakkan.

“Sebagai contoh, Kompleks Penghulu yang terdapat di seluruh negeri boleh diisi dengan pelbagai program yang relevan kepada belia, sekali gus boleh menarik minat mereka untuk bertandang, bukan hanya pada waktu penganjuran sesuatu program. 

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan memperuntukkan RM3 juta bermula dengan Sekolah Kebangsaan Seri Benut, dan sekolah-sekolah di sepanjang Jalan Jaafar ini akan dijadikan sebagai pusat pendidikan atau kawasan tumpuan bagi belia mengisi masa dengan aktiviti berfaedah.

“Dataran Dato’ Jalok akan dinaik taraf termasuklah pembinaan sebuah perpustakaan bagi membolehkan pelbagai aktiviti berfaedah kepada belia dijalankan di sini,” katanya.

Turut hadir, Pegawai Daerah Pontian, Tuan Haji Zulkifly Mohd.Tahir dan Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Johor, Tuan Azli Ubin.

Sumber : Makmur Johor

Leave a Comment

Your email address will not be published.